Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: “Saya lebih rela menangguhkan pengajian di Mesir demi menunaikan tanggungjawab menjaga ayah yang sakit selama dua tahun,” kata Muhammad Hazam Borhanuddin, 23.
Katanya, walaupun sukar untuk membuat keputusan namun dia tetap nekad menangguh pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir dua tahun lalu walaupun peluang berkenaan telah terhidang
“Ilmu bila-bila masa boleh dicari tanggungjawab pada ayah hanya datang sekali,” katanya.
Menurutnya, berkat doa ayah, Borhanuddin Md Salim dan keluarga akhirnya impian untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah dalam bidang Usuluddin kini menjadi kenyataan, minggu depan dia akan bertolak ke negara timur tengah itu bersama beberapa pelajar lain.

“Bukan mudah untuk saya memutuskan untuk menangguhkan pengajian selama dua tahun, pelbagai ujian terpaksa dihadapi terutama apabila melihat rakan-rakan kini berada di tahun akhir pengajian sebelum menggenggam segulung ijazah dalam bidang masing-masing.
“Tapi saya yakin ada hikmah disebalik pengorbanan menjaga ayah yang memerlukan perhatian dan sokongan selama dua tahun selepas diserang angin ahmar, kini keadaan ayah kembali sihat walaupun tidak mencapai seratus peratus,” katanya.
Dia ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Pelajar Pahang yang melanjutkan pengajian ke Timur Tengah (Mesir, Jordan dan Morocco) disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Ahmad Hairi Hussain di Dewan MUIP, di sini semalam.
Teks ucapan dibaca oleh Timbalan Pegawai Eksekutif MUIP, Datuk Dr Asmadi Abdul Rahman.
Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman.
Pada majlis berkenaan seramai 107 pelajar lepasan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) kelolaan JAIP, Kolej Yayasan Pahang (KYP), Maahad Tahfiz Negeri Pahang, Maahad Tahfiz Turath dan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS) termasuk pelajar persendirian menerima sumbangan tajaan tiket penerbangan dan wang saku sebanyak RM1,200.
MUIP menyediakan peruntukan sebanyak RM339,000 untuk membantu 107 pelajar Pahang yang berjaya melanjutkan pengajian ke timur tengah. Tiket penerbangan antara RM2,000 hingga RM2,500 dan wang saku RM1,200.
Pelajar lepasan UNIPSAS itu berkata dia ingin mengikut jejak ayah dan ibu yang sebelum ini pernah belajar di Universiti Al-Azhar.
“Saya bersyukur pada Allah apabila pengorbanan menjaga ayah selama dua tahun sebelum ini mendapat balasan diterima melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar. Saya akan berusaha bersungguh-sungguh mencatat kejayaan diimpikan.
“Saya bercita-cita menjadi pendidik suatu hari nanti, mengikut jejak mak yang bertugas sebagai guru agama,” kata anak bongsu daripada lima beradik.
Bagi Fatimah Azzahraa’ Mohd Sabri, 20, lepasan Kolej Yayasan Pahang, dia bersyukur impian melanjutkan pengajian di Universiti Yarmok, Jordan akhirnya menjadi kenyataan yang begitu membanggakan.

“Saya mengambil jurusan Syariah Ekonomi dan Perbankan Islam yang membuka peluang berkhidmat dengan sektor perbankan serta kewangan tempatan,” kata anak kedua daripada enam beradik.
IMedikel TV






