Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
PEKAN: Kontinjen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan muncul juara perarakan sempena Majlis Sambutan Maulidul Rasul Peringkat Negeri Pahang 1448/2026 di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, Selasa lalu.
Selaku juara kategori Institut Pengajian Tinggi (IPT) membawa pulang piala pusingan dan hadiah wang tunai RM3,000. Dalam kategori badan beruniform juara berpihak kepada kontinjen Polis Pahang.
Ketua kontinjen UIAM kampus Kuantan, Dr Hasbullah Mohamad berkata, kontinjen UIAM kampus Kuantan dianggotai seramai 38 peserta terdiri daripada warga kerja pelbagai jabatan dalam UIAM Kuantan.
Katanya, kejayaan kali ini meneruskan kecemerlangan UIAM kampus Kuantan selepas muncul naib johan pada 2024 dan juara tahun lalu.
Menurutnya, antara faktor kejayaan ialah persediaan membabitkan latihan intensif yang diadakan selain disiplin, semangat, kesungguhan, ukhuwwah dan kerja secara berpasukan yang dibentuk sejak awal latihan.

“Penyertaan perarakan sempena Sambutan Maulidul Rasul Peringkat Negeri Pahang menjadi wadah menzahirkan rasa cinta dan mahabbah kepada Rasulullah SAW serta menghayati sunnah Baginda.
“Semangat khidmat secara sukarela serta niat untuk memartabatkan cinta pada Nabi Muhammad SWS menjadi pemangkin kepada setiap peserta,” katanya, dihubungi di sini.
Beliau menambah, sokongan pengarah kampus dan kepimpinan universiti turut menjadi pendorong kepada warga dan kontigen UIAM kampus Kuantan untuk bersama-sama menjayakan program kali ini yang berakhir dengan kejayaan yang begitu membanggakan.
Hasbullah berkata, semoga kejayaan ini menjadi bukti untuk menyemarakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW selaras dengan gagasan tema yang dipilih “Tawhid and Sunnah: Ummatic Excellence for Pahang”.
IMedikel TV






