Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Purata 45 penghafaz al-Quran baharu direkodkan setiap tahun di Pulau Pinang, menunjukkan peningkatan minat anak negeri itu untuk menghafaz 30 juzuk al-Quran.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, berkata perkembangan itu turut menyebabkan jumlah penerima sumbangan al-Huffaz meningkat dari tahun ke tahun sejak inisiatif berkenaan diperkenalkan pada 2008.

Katanya, tahun ini seramai 700 hafiz menerima sumbangan RM500 seorang membabitkan peruntukan RM350,000.
“Pemberian sumbangan ini meningkat dari tahun ke tahun susulan pertambahan purata 45 penerima baharu setiap tahun, menjadikan semakin ramai anak negeri ini menghafaz al-Quran.
“Ini adalah inisiatif khas sebagai penghargaan kerajaan negeri kepada hafiz yang berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran serta usaha memartabatkan kalam Allah di Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian sumbangan al-Huffaz, bantuan Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan inisiatif jemaah haji B40 di Seberang Jaya, di sini, hari ini.
Mohamad berkata, sumbangan al-Huffaz dikendalikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), dengan penerima terdiri daripada anak negeri atau pemastautin yang memenuhi syarat ditetapkan.
Katanya, penerima perlu memiliki Sijil Tamat Hafalan atau Shahadah daripada institusi yang diiktiraf selain lulus ujian kelayakan.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM3.25 juta bagi membantu 332 SAR di seluruh Pulau Pinang, termasuk membiayai penyelenggaraan kecil, utiliti dan kegiatan kokurikulum pelajar.
“Sebanyak RM237,000 pula disediakan bagi meneruskan inisiatif kepada jemaah haji B40, dengan setiap penerima menerima RM1,000 selepas selesai menunaikan ibadah haji tahun ini.
“Keseluruhannya, kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM3.8 juta bagi pelaksanaan ketiga-tiga inisiatif berkenaan tahun ini,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad berkata, peruntukan pembangunan agama Islam di Pulau Pinang meningkat RM7 juta tahun ini kepada RM25 juta berbanding RM18 juta tahun lalu, selaras usaha kerajaan negeri memperkukuh Agenda Pembangunan Agama Islam (APAI) 2030.
Katanya, peningkatan itu membolehkan lebih banyak inisiatif berkaitan pembangunan syiar Islam dilaksanakan secara menyeluruh.
“Negeri ini kecil jika dibandingkan dengan negeri lain, nombor dua terkecil selepas Perlis, tetapi kita mempunyai kira-kira 245 masjid.
“Tahun lalu sahaja, kita menyaksikan tujuh masjid baharu siap dibina,” katanya.
IMedikel TV






