Home Sukan USAH TERLALU SELESA LAKAR KEMENANGAN BESAR – MUNOZ

USAH TERLALU SELESA LAKAR KEMENANGAN BESAR – MUNOZ

JOHOR BAHRU: Walaupun Johor Darul Ta’zim (JDT) melakar kemenangan besar selepas membelasah Kelantan Red Warrior (KRW) 9-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, semalam namun pengendalinya Xisco Munoz mengingatkan barisan pemain supaya tidak terlalu selesa.

Memetik laporan BH Online, pengendali kelahiran Sepanyol itu berkata, saingan liga baru bermula dan kemenangan kedua berkenaan memberi impak positif kepada skuad Harimau Selatan.

“Ya betul, kami berjaya jaringkan sembilan gol tapi jaringan banyak bukan diutamakan, sebaliknya apa yang kami tekankan adalah kami harus mendorong diri sendiri dengan meningkatkan gaya permainan yang lebih efektif dan kami tahu standard yang kami ada dan tampil dengan corak permainan di tahap tertinggi.

“Bukan mudah untuk melakukan penggiliran dan menukar ramai pemain serta memberikan tahap prestasi ini. Dan kami perlu sentiasa positif serta meneruskan momentum kemenangan dengan visi yang lebih memberi impak serta mengekalkan intensiti permainan yang tinggi,” katanya.

Munoz juga berpuas hati dengan persembahan pemain import baharu dari Iran, Shahab Zahebi yang menjaringkan empat gol dalam perlawanan itu kerana pemain itu bukan sahaja bekerja keras bagi memastikan JDT melakar kemenangan, sebaliknya kerap turun di posisi tengah bagi menghalang gerakan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim. 

Jelas Munoz, bekas pemain Liga 1 Jepun (J1 League), Avispa Fukuoka itu kerap memberi tekanan ferhadap benteng KRW dan bijak menghidu peluang selain pemain itu juga sentiasa memberi kerjasama baik bersama rakan sepasukan dalam perlawanan itu. 

“Dalam sukan bola sepak, penyerang bukan sahaja untuk menyerang tapi pemain itu juga harus bertahan bagi membantu rakan sepasukan dan Shahab melaksanakan tugas dengan baik dan empat gol yang dijaringkan mampu beri lebih keyakinan bagi harungi aksi seterusnya,” katanya.

Mengulas mengenai Arif Aiman Hanapi yang menjadi pencetus jaringan buat JDT menerusi bola umpanan tepat kepada rakan sepasukan, Munoz menganggap dia pemain yang serba boleh dan sedang dalam proses untuk bangkit selepas sekian lam tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif akibat kecederaan.

“Arif tahu tugas selaku kapten pasukan sememangnya amat berat dipikul tetapi dia mengambil tanggungjawab itu dengan penuh dedikasi. Walaupun dia muda namun karakternya di padang cukup matang dan kami percaya dia akan kembali lebih bertenaga pada aksi seterusnya,” kata Munoz. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here