Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TUMPAT: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) terus memperkukuh pendidikan tahfiz al-Quran apabila Kampus Siswi Darul Quran MAIK di Sungai Pinang, di sini, kini mampu menampung sehingga 60 pelajar.
Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, pembukaan kampus berkenaan merupakan langkah penting dalam memenuhi peningkatan permintaan terhadap pendidikan tahfiz, khususnya dalam kalangan pelajar perempuan.
Beliau berkata, Kampus Siswi Darul Quran MAIK mula ditubuhkan pada 2023 di Pendek, Kota Bharu dengan pengambilan sulung hanya sembilan pelajar.
“Walaupun bermula secara sederhana, kampus ini menjadi asas kepada perkembangan pendidikan tahfiz perempuan di bawah kelolaan MAIK.
“Pada tahun ini, Darul Quran MAIK turut melakar pencapaian bermakna apabila berjaya melahirkan sembilan alumni siswi daripada kohort pertama Kampus Siswi,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Darul Quran MAIK (Kampus Siswi), Sungai Pinang, di sini.
Majlis perasmian disempurnakan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra, manakala turut berangkat mencemar duli Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.
Menurutnya, kampus baharu itu direalisasikan bagi menampung keperluan pengambilan pelajar yang semakin meningkat, selain menyediakan persekitaran pembelajaran lebih kondusif.
Katanya, kampus berkenaan mampu menempatkan sehingga 60 pelajar berbanding hanya 30 pelajar di kampus terdahulu.
“Kampus ini turut dilengkapi pelbagai kemudahan pembelajaran dan prasarana termasuk bilik kuliah berhawa dingin, makmal komputer, perpustakaan mini, pejabat pentadbiran, bilik pensyarah, bilik mesyuarat, surau, kantin serta asrama.
“Penyediaan kemudahan ini mencerminkan usaha MAIK untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif, selari dengan hasrat melahirkan hafizah al-Quran yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata bidang tahfiz al-Quran di Malaysia kini berkembang pesat dan menjadi sebahagian daripada agenda pembangunan negara.
Katanya, perkembangan itu dapat dilihat menerusi penubuhan Majlis Tahfiz Negara yang berperanan menyelaras serta memperkasa pendidikan tahfiz al-Quran, selain pemasyhuran Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS) pada 6 Mac lalu sebagai universiti al-Quran pertama di Malaysia.
Seiring perkembangan itu, MAIK katanya terus komited memperkukuh Darul Quran MAIK sebagai institusi pendidikan tahfiz berkualiti melalui kerjasama dengan Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Kerjasama itu membolehkan Darul Quran MAIK menawarkan Program Diploma Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat yang diiktiraf bagi melahirkan graduan yang mampu menyumbang kepada pembangunan ummah dan negara,” katanya.
Beliau berkata, kecemerlangan Darul Quran MAIK dalam pematuhan standard akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), pengurusan, akademik, kokurikulum serta penyediaan prasarana pembelajaran berkualiti turut membolehkan institusi itu menerima Anugerah Kecemerlangan Institusi pada Majlis Istiadat Konvokesyen Darul Quran JAKIM tahun ini.
Beliau berkata, pengiktirafan itu membuktikan komitmen MAIK dalam memastikan kualiti pendidikan tahfiz al-Quran sentiasa berada pada tahap terbaik, selain mengukuhkan kedudukan Darul Quran MAIK sebagai antara institusi pendidikan tahfiz yang unggul.
Dalam perkembangan sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Haji Md. Rashid Mohammad atas kesudian mewakafkan tanah dan bangunan bagi pembangunan Kampus Siswi Darul Quran MAIK.
“Penghargaan turut diberikan kepada Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) atas sumbangan manfaat wakaf berjumlah RM296,180 bagi penyediaan aset di Darul Quran.
“Segala sumbangan tersebut adalah satu amal jariah yang insya-Allah akan terus mengalirkan pahala yang berpanjangan.
“Saya yakin, dengan sumbangan yang telah dihulurkan semua pihak, Kampus Siswi Darul Quran MAIK akan terus melahirkan hafizah al-Quran yang berilmu, berakhlak mulia dan berupaya menyumbang kepada agama, masyarakat serta negara,” katanya.
Beliau berkata, kewujudan kampus berkenaan turut menjadi manifestasi komitmen MAIK dalam memperkasa pendidikan al-Quran demi memastikan kelangsungan legasi keilmuan Islam di Kelantan yang dikenali sebagai Negeri Serambi Mekah.
IMedikel TV






