Home Buletin Semasa PUSAT KANSER TUN ABDULLAH AHMAD BADAWI RAWAT SEMUA JENIS KANSER 

PUSAT KANSER TUN ABDULLAH AHMAD BADAWI RAWAT SEMUA JENIS KANSER 

Oleh: Wartawan IMedikel TV

PENANG: Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) di Bertam, Kepala Batas, di sini, bakal menjadi antara pusat rujukan utama rawatan pelbagai jenis kanser dengan menawarkan kepakaran dan kaedah berteknologi tinggi.

Sebelum ini dikenali sebagai Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), penjenamaan baharu itu dijangka terus memperkukuh peranan PKTAAB dalam rawatan kanser, khususnya bagi wilayah utara dan seluruh negara.

Pakar Perunding Otorinolaringologi (ENT) dan Brakiterapi Surgikal, Profesor Madya Dr Muhamad Yusri Musa, berkata pertukaran nama berkenaan mencerminkan penumpuan lebih khusus pusat itu terhadap rawatan kanser, selain memudahkan masyarakat mengenali fungsi dan peranan PKTAAB.

“Sebelum nama ini ditukar, kita sudah pun beroperasi seperti biasa dan turut merawat penyakit selain kanser. Namun, dari segi bidang tumpuan, kita kini memberi pengkhususan lebih besar kepada rawatan kanser selaras dengan kepakaran pakar serta penyelidik yang ada.

“Pada masa sama, kita mendapat peruntukan untuk menaik taraf fasiliti dan peralatan berteknologi tinggi yang sesuai dengan keperluan rawatan kanser,” katanya kepada pemberita pada Hari Terbuka Sempena Majlis Perasmian PKTAAB, di sini, semalam.

PKTAAB akan dirasmikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada hari ini.

Dr Yusri yang juga seorang pakar bedah berkata, PKTAAB memberi tumpuan kepada rawatan kanser pejal merangkumi pelbagai jenis kanser, namun tidak merawat kanser darah seperti leukemia serta limfoma.

Katanya, antara kanser yang banyak dirawat di pusat berkenaan termasuk kanser kepala dan leher, payudara, usus serta paru-paru, selain menerima rujukan bagi kes tertentu yang memerlukan kepakaran atau teknologi khusus.

Beliau berkata, antara keistimewaan PKTAAB ialah penggunaan teknologi ‘hyperthermia’, iaitu kaedah rawatan yang menggabungkan terapi haba dengan radioterapi yang kini antara fasiliti pertama seumpamanya ditawarkan di Malaysia.

“Teknologi ini sudah digunakan secara meluas di seluruh dunia, termasuk di Singapura dan Thailand. Di Malaysia, kita menjadi pusat pertama menawarkan rawatan seperti ini.

“Pemasangannya selesai sekitar Mac lalu dan rawatan menggunakan teknologi ini dimulakan pada April. Setakat ini, kita sudah merawat enam hingga tujuh pesakit yang sesuai, kebanyakannya membabitkan kanser kepala dan leher serta kanser payudara,” katanya.

Selain itu, katanya, PKTAAB turut menaik taraf mesin ‘Linear Accelerator’ (LINAC) bagi radioterapi, dengan versi teknologi berkenaan menjadi antara yang terawal dipasang di Malaysia dan Asia Tenggara.

“Kehadiran teknologi serta kepakaran khusus seperti ini menjadikan PKTAAB sebagai pusat rujukan bukan sahaja untuk hospital kerajaan di utara Semenanjung, malah menerima pesakit dari seluruh negara dan luar Malaysia.

Bercakap mengenai hari terbuka yang dianjurkan, Dr Yusri berkata, ia berlangsung sejak Isnin hingga Sabtu dengan menampilkan reruai pameran berkaitan pencegahan, diagnosis dan rawatan kanser membabitkan penyertaan Persatuan Kebajikan Kanser Malaysia (MAKNA) serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Katanya, pelbagai perkhidmatan percuma turut disediakan kepada pengunjung, termasuk saringan kanser pangkal rahim menggunakan kaedah ujian HPV DNA serta saringan kanser payudara, selain pengunjung juga berpeluang mendapatkan saringan kanser payudara dan mulut serta pemeriksaan kesihatan umum.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here