Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@ IMedikel TV
KOTA BHARU: Polis Kelantan berjaya menumpaskan kegiatan pecah rumah dan curi di sekitar daerah ini dengan penahanan seorang lelaki berusia 28 tahun, pada 10 Ogos lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, suspek ditahan sepasukan polis dari Cawangan D4, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dalam serbuan kira-kira jam 6.30 petang di sebuah rumah di Kota Bharu.
Beliau berkata, hasil serbuan itu, polis turut merampas sebuah motosikal Honda C70, empat telefon bimbit, lima utas jam tangan pelbagai jenama, lima kad bank, tiga bentuk cincin, seutas gelang tangan dan tiga beg tangan pelbagai jenama.
“Turut dirampas wang tunai berjumlah RM250.
“Semakan rekod mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah berkaitan dadah, manakala ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah jenis amphetamine,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Menurutnya, hasil tangkapan itu polis berjaya menyelesaikan 11 kes pecah rumah dan satu kes curi motosikal yang berlaku di Kota Bharu, membabitkan anggaran kerugian keseluruhan kira-kira RM100,000.
Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan bagi proses dokumentasi dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan bagi kesalahan kedua dan seterusnya,”katanya.
Mohd Yusoff berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan.
IMedikel TV






