Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Peruntukan sebanyak RM300,00 disediakan Kerajaan Pahang tahun ini dalam membantu seramai 300 pelajar anak negeri yang berjaya terpilih melanjutkan pengajian ke luar negara.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada 122 pelajar menerusi tiga inisiatif pendidikan luar negara.
Bantuan berkenaan menerusi Inisiatif Makmur Pahang Kluster Sumbangan Melanjutkan Pengajian ke Luar Negara 2026 membabitkan seramai 118 pelajar yang melanjutkan pengajian ke Mesir, Jordan, Maghribi dan New Zealand masing-masing menerima RM1,000.
Seramai 20 pelajar menerusi Program KYP-Yarmouk Jordan masing-masing menerima wang pendahuluan USD1,000 bagi melanjutkan pengajian di Yarmouk University, Jordan.

Seramai 15 pelajar yang melanjutkan pengajian ke Maghribi masing-masing turut menerima wang pendahuluan USD1,000 menerusi bantuan Wang Pendahuluan Pelajar Pengajian ke Maghribi.
Mereka terdiri pelajar daripada beberapa institusi termasuk Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP), Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP), Kolej Yayasan Pahang (KYP), UCYP University, Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah (UNIQSAAS) dan Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP).
Sejak 2005 Yayasan Pahang (YP) telah membelanjakan kira-kira RM94,000 setiap pelajar terdiri daripada 487 anak Pahang yang mengikuti pengajian di Yarmouk University. Seramai 402 pelajar telah menamatkan pengajian manakala 85 pelajar masih meneruskan pengajian dalam pelbagai bidang.

Seramai 20 pelajar anak Pahang yang belajar di Universiti Al-Qarawiyyin masing-masing menerima biasiswa berjumlah RM40,000 bagi tempoh empat tahun sejak 2023.
Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dan YP dalam memperluas akses pendidikan antarabangsa kepada anak Pahang, sekali gus melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berdaya saing yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri.
Bantuan yang disediakan menjadi bukti usaha kerajaan negeri dalam memperkasa pendidikan anak negeri secara berterusan.
IMedikel TV






