Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Keikhlasan yang ada dalam dirinya membolehkan Sobariah Abu Bakar, 56, berkhidmat mencurahkan ilmu agama tanpa jemu kepada pelajar Orang Asli mualaf.
Selama 26 tahun bertugas sebagai guru agama dengan Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Asli (PETAMA) di bawah University College of Yayasan Pahang (UCYP) di Tanjung Lumpur, di sini nyata memberikan situasi paling bermakna buat wanita ini.
Bagi Sobariah, dia sentiasa memanjatkan kesyukuran setiap kali dapat melihat pelajar Orang Asli mualaf yang diasuh dengan Fardu Ain seterusnya mampu membaca al Quran selain dapat mentaati ajaran Islam secara istiqomah.
Menurutnya, sepanjang berkhidmat dia berjaya mendidik lebih 1,000 golongan remaja Orang Asli yang inginkan ilmu agama seterusnya mereka berpeluang memikul tugas sebagai Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Orang Asli (Pepima).

“Saya menganggap pelajar PETAMA umpama anak saya sendiri yang perlu dididik dengan sebaik mungkin, mereka perlukan tunjuk ajar dalam agama selain adab perhubungan dan menghormati guru.
“Penghijrahan yang dilalui golongan remaja berkenaan menjadi lebih bermakna apabila mereka dapat mendalami ilmu agama dengan ikhlas seterusnya mengamalkan sepanjang kehidupan mendatang.
“Hati saya puas dan bersyukur apabila dalam tempoh dua tahun mengajar mereka, akhirnya mereka mampu menerima ilmu agama dan mengamalnya dengan seikhlas hati,” katanya, di sini kelmarin.
Dia yang lebih mesra disapa ‘Umi’ dalam kalangan pelajar PETAMA berkata, cabaran mengajar mualaf terdiri daripada golongan remaja Orang Asli ternyata lebih hebat selain memerlukan kesabaran tinggi.
Beliau yang kini pengurus PETAMA menambah, berbekalkan hidayah Allah dan semangat golongan terbabit melangkah dengan membuka lembaran sebagai mualaf dan tunjuk ajar juga perlu bermula dari bawah umpama kelas Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TBK).
Sobariah berkata, terlalu banyak pengalaman serta cerita yang muncul sepanjang mengajar golongan remaja mualaf ini, ada kisah gembira, duka, pelik dan lucu.
Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata hampir setiap tahun dia bersama beberapa tenaga pengajar PETAMA berkunjung ke kampung dan penempatan Orang Asli di Pahang bagi tujuan sesi temu duga remaja yang memohon untuk belajar di PETAMA.
“Setiap tahun 30 hingga 35 pelajar berumur 17 tahun ke atas diterima masuk ke Petama, selain boleh menulis dan membaca mereka juga perlu berminat mendalam ilmu agama.
“Semua pelajar dari Pahang mendapat tajaan sepenuhnya daripada Yayasan Pahang. Mereka dari Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Johor pula mendapat bantuan negeri masing-masing,” kata.
Katanya, antara cabaran yang terpaksa hadapi ialah apabila kesukaran pelajar menerima pelajaran, mereka tidak mampu mengubah budaya dan disiplin hingga ada yang mengambil keputusan menamatkan pengajian namun jumlahnya sedikit sahaja.
“Setiap tahun sambutan yang diterima begitu menggalakkan, pihaknya terpaksa meneliti setiap permohonan sebelum sesi temu duga dilakukan, sokongan keluarga selain kejayaan pelajar sebelum ini menjadi faktor utama Petama semakin diterima,”katanya.
Tambahnya lagi, selepas tamat pengajian selama dua tahun pelajar berpeluang bertugas sebagai Pepima, mereka juga diberi peluang menyambung pengajian dalam bidang kemahiran diminati yang disediakan Yayasan Pahang.
IMedikel TV






