Home Buletin Semasa HASILKAN BUBU KETIKA ANGIN KENCANG DI LAUT

HASILKAN BUBU KETIKA ANGIN KENCANG DI LAUT

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

PEKAN: Tidak dapat turun ke laut disebabkan laut bergelora memberi peluang kepada nelayan pantai menghasilkan bubu digunakan untuk menangkap ikan dan sotong.

Bubu dibuat menggunakan jaring dawai, kayu jenis mata keli, tali dan kabel bagi menggantikan rotan. Kos menghasilkan bubu bersaiz kecil antara RM150 hingga RM180 seunit.

Nelayan pantai, Othman Abdul Rasul, 68, berkata setiap kali musim angin kencang dan ombak besar berlaku dia tidak dapat turun ke laut menangkap ikan, masa terluang digunakan untuk menghasilkan bubu bersaiz kecil.

Menurutnya, dia dibantu anaknya, Kamaruzaman mampu menghasilkan lebih 100 unit bubu bersaiz kecil dalam masa sebulan setengah. Kerja membuat bubu dilakukan di kawasan rumahnya di Kampung Tanjung Selangor, dekat sini.

“Bubu bagi menangkap ikan dan sotong boleh bertahan dalam laut selama enam bulan, selepas itu alat berkenaan mula rosak disebabkan faktor terendam lama dalam air masin hingga menyebabkan jaring besi reput.

“Terdapat kes bubu yang di pasang sepanjang perairan Kuantan dan Pekan hilang disebabkan tersangkut dalam pukat tunda nelayan selain faktor ombak besar yang menyebabkan bubu pecah dan tenggelam.

“Saya turun ke laut hampir setiap hari menggunakan bot gentian kaca saiz sederhana dengan jarak antara 17 hingga 20 kilogram (km) perairan Pekan dan Kuantan. Untuk keselamatan musim angin kencang saya tidak ke laut,” katanya, di sini semalam.

Dia yang berpengalaman lebih 50 tahun sebagai nelayan pantai berkata, beberapa jenis ikan seperti kerapu, merah, kerisi, tenggiri, siakap, jenahak dan sotong katak akan masuk ke dalam bubu tanpa menggunakan umpan.

Othman berkata, kualiti bubu amat penting bagi memastikan fungsinya dapat digunakan semaksimum mungkin seterusnya dapat menarik seberapa banyak ikan dan sotong untuk masuk ke dalam bubu yang akan menjadi rezeki nelayan.

“Semua nelayan boleh membuat bubu, namun tidak semua yang boleh membuat bubu yang benar-benar baik terutama teknik anyaman bahagian unjap. 

“Lokasi meletakkan bubu juga memerlukan kemahiran dan panduan tertentu. Jika tidak, nelayan hanya akan pulang hampa kerana tiada ikan masuk ke dalam sangkar. Bubu dilabuhkan ke dasar laut kawasan tumpuan ikan,” kata datuk sembilan cucu itu.

Bagi Kamaruzaman, 45, pengalaman selama tujuh tahun sebagai nelayan pantai bersama ayahnya (Othman) mengajarnya cara menangkap ikan menggunakan bubu termasuk menghasilkan alat tradisional berkenaan.

“Pada musim tengkujuh kali ini saya dan ayah berjaya menghasilkan 100 unit bubu bersaiz kecil, walaupun terpaksa mengeluarkan modal yang agak besar namun hasil yang mampu diraih boleh dikatakan memuaskan bergantung pada rezeki.

“Sebelum ini kami menggunakan rotan untuk membuat bubu, namun disebabkan semakin sukar untuk mendapatkan rotan memaksa kami menggunakan kayu mata keli dan kabel,” katanya yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori.

Katanya, rezeki nelayan tidak menentu setiap hari, ada ketikanya mewah apabila ikan banyak masuk dalam bubu. Namun ada masanya kami pulang sekadar cukup makan dan lebih sedih apabila tanpa hasil diharapkan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here