Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang melupuskan pelbagai barang kes membabitkan nilai keseluruhan RM13.5 juta.
Pelupusan itu dibuat selepas kesemua siasatan telah selesai diambil tindakan dan tidak lagi diperlukan bagi tujuan siasatan atau prosiding mahkamah.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng, berkata barang kes yang dilupuskan membabitkan 2,436 kertas siasatan melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).

“Pelupusan barang kes JSJN antara yang tertinggi melibatkan kira-kira RM11.4 juta membabitkan 2,003 kertas siasatan lama yang disiasat sejak 1997 hingga kini.
“Antara barang kes berkenaan ialah pelbagai jenis dadah dan ketum seberat 1,995 kilogram, selain 666 liter cecair berkaitan dadah dan peralatan digunakan untuk memproses dadah dengan anggaran berat kira-kira 500 kilogram.
“Bahan dadah itu dilupuskan melalui kaedah pemusnahan selamat menggunakan teknologi terkini yang diperakui oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelupusan Barang Kes terbabit di Perkarangan Stor Barang Kes Berpusat, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) di Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam.
Mengulas lanjut, Dennis berkata, bagi JSJ pula telah melupuskan barang kes bernilai RM800,000 membabitkan 271 kertas siasatan.
“Antara barang kes yang dilupuskan ialah 177 mesin bitcoin, 2,080 botol arak, 1,183 karton rokok, 30 unit mesin simulator, 108 unit pencetak mudah alih dan 122 telefon bimbit.
“Barang kes JSJ itu membabitkan 26 eksibit berkaitan kontraban, tujuh barang kes daripada kes bitcoin dan 229 barang kes berkaitan perjudian,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata bagi JSJK pelupusan barang kes melibatkan 162 kertas siasatan dengan nilai kira-kira RM1.3 juta.
“Barang kes itu termasuk VCD, poster, televisyen, pelbagai peralatan dan sistem serta skirt meja yang digunakan dalam pelaksanaan jenayah.
“Untuk barang kes yang mempunyai elemen elektronik atau bahan kimia, ia diserahkan kepada syarikat yang berdaftar dengan pihak alam sekitar untuk dilupuskan mengikut prosedur ditetapkan, termasuk pelupusan sisa elektronik (e-waste) dan bahan kimia,” katanya.
IMedikel TV






