Home Buletin Semasa AIR DI EMPANGAN TIMAH TASOH, EMPANGAN MUDA PADA TAHAP KRITIKAL

AIR DI EMPANGAN TIMAH TASOH, EMPANGAN MUDA PADA TAHAP KRITIKAL

Oleh: Wartawan IMedikel TV

JOHOR BAHRU: Tadahan air di Empangan Timah Tasoh di Perlis dan Empangan Muda di Kedah dilaporkan berada pada tahap kritikal, susulan keadaan cuaca panas dan kering akibat fenomena El Nino.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman bagaimanapun berkata, keadaan bekalan air di kedua-dua kawasan berkenaan masih terkawal.

Katanya bekalan air di Empangan Timah Tasoh dilaporkan mampu bertahan sehingga 50 hari sekiranya tiada hujan.

“Pemantauan terhadap semua empangan dilaksanakan secara berterusan. Setakat ini masih terkawal, cuma di bahagian Utara yang agak kritikal, iaitu Empangan Timah Tasoh di Perlis dan Empangan Muda di Kedah.

“Paling kritikal sekarang ini di Perlis. Saya difahamkan boleh bertahan 50 hari kalau tidak ada hujan,” katanya pada sidang media selepas Ops Tebrau (pematuhan pengosongan tangki septik secara berjadual) di sekitar bandaraya ini di Jalan Syahbandar 2, Taman Ungku Tun Aminah (TUTA) di sini semalam.

Menurut Ahmad Faizal, keadaan dijangka tidak berlarutan selepas program pembenihan awan dilaksanakan dan menghasilkan hujan di beberapa kawasan.

Katanya berdasarkan pola cuaca sebelum ini, kawasan Utara dijangka menerima hujan sekitar September hingga Oktober berikutan peralihan Monsun Barat Daya kepada Monsun Timur Laut.

“Harap-harap hujan. Tetapi kalau tidak hujan, kita sudah ada perancangan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Syarikat Air Perlis untuk mengepam air daripada tempat-tempat yang sepatutnya seperti kolam, tali air dan sebagainya.

“Keadaan bekalan air di negeri-negeri lain masih terkawal, termasuk Johor yang menerima sedikit hujan dalam tempoh satu hingga dua minggu kebelakangan ini.

“Sebanyak empat siri operasi pembenihan awan telah dilaksanakan bermula April hingga Julai lalu, dengan kebanyakannya tertumpu di kawasan Utara dan Johor,”katanya.

Menurutnya, program itu secara keseluruhannya berjaya menghasilkan hujan, namun pelaksanaannya bergantung kepada keadaan awan yang bersesuaian.

“Pembenihan awan kebanyakannya berhasil kerana kajian akan dibuat sebelum pembenihan dilaksanakan. Bila ada awan yang bersesuaian, barulah pembenihan awan dilaksanakan kerana kosnya mahal, iaitu antara RM80,000 hingga RM100,000 bagi setiap penerbangan.

“Terdapat juga pembenihan awan yang tersasar yang mana hujan turun dikawasan lain. Tetapi sistem baraj di beberapa sungai turut membantu menakung air sebelum mengalir ke laut.

“Sungai Johor mempunyai baraj di bahagian hilir yang membolehkan air dikumpulkan, manakala sistem sama turut terdapat di Sungai Muda, Kedah,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here