Home Buletin Semasa JEJAMBAT RM60 JUTA DIBINA HUBUNGKAN RTS JB-SINGAPURA – LOKE

JEJAMBAT RM60 JUTA DIBINA HUBUNGKAN RTS JB-SINGAPURA – LOKE

Oleh: Wartawan IMedikel TV

JOHOR BAHRU: Sebuah jejambat akan dibina bagi menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) yang menempatkan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura dengan Stesen KTM Komuter di Johor Bahru, selepas RTS Link dijadualkan mula beroperasi pada Januari 2027.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, inisiatif itu bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam sekaligus menyelesaikan masalah penyuraian trafik di Bandaraya ini.

Katanya projek dibawah Kementerian Pengangkutan bernilai RM60 juta itu akan bermula dalam waktu terdekat dan mengambil masa selama 12 bulan untuk disiapkan.

“Projek itu menjadi kemudahan tambahan kepada pengguna yang akan menggunakan perkhidmatan RTS Link untuk menghubungkan kedua-dua destinasi.

“Apabila siap nanti, mana-mana penumpang yang mengambil KTM Komuter, mereka berhenti di stesen Komuter, stesen KTMB Komuter, dia boleh terus sambung ke Stesen RTS Bukit Chagar.

“Ini satu perkara yang kita hendak maklumkan kepada orang ramai bahawa sistem RTS Bukit Chagar di Bukit Chagar ini akan mengintegrasikan dengan pelbagai mod pengangkutan awam di Johor Bahru sekali gus menjadi salah satu penyelesaian kita untuk memastikan penyuraian trafik ini dapat dilaksanakan dengan baik”,katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan tinjauan RTS Link Johor Bahru-Singapura di sini, hari ini.

Menurutnya, perkhidmatan lain termasuk jejambat sedia ada akan dimulakan serentak dengan pembukaan operasi RTS Link.

Katanya pembinaan jejambat di bahagian tengah jambatan penghubung itu bakal memudahkan pengguna memandangkan laluan penghubung sedia ada ketika ini memaksa mereka membuat pusingan jauh.

“Dengan adanya laluan ini, pengguna dari stesen komuter boleh menggunakan platform akses pejalan kaki dan seterusnya menaiki eskalator untuk terus ke jambatan penghubung.

“Langkah ini akan memendekkan jarak perjalanan antara stesen komuter dan stesen RTS Bukit Chagar, sekali gus membantu menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan komuter,” katanya.

Loke turut berpuas hati dengan projek RTS Link yang menunjukkan kemajuan memberangsangkan.

“Ini adalah fasa yang paling penting sebelum pengoperasian kerana fasa ujian dan pentauliahan ini adalah satu fasa yang paling kritikal untuk memastikan semua sistem dapat berfungsi dengan baik, berfungsi dengan seperti yang diharapkan, sebelumnya ia dibuka untuk operasi untuk orang ramai,” katanya.

Sementara itu, mengenai kadar tambang serta tarikh muktamad pengoperasian RTS Link, Loke berkata, ia akan diumumkan secara bersama dengan Kerajaan Singapura apabila sudah diputuskan kelak.

“Ini adalah projek bilateral antara Malaysia dan Singapura, jadi pengumuman mengenai tarikh operasi dan kadar tambang kita akan buat bersama.

“Perbincangannya positif, tetapi kita tidak boleh umum, kita akan umum bersama nanti,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here