Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: “Saya reda dan pasrah dengan hukuman berat serta menyakitkan yang diterima selepas melakukan kesalahan merogol sebelum ini,” kata Abu, 40, (bukan nama sebenar).
Dia yang kini menghuni Penjara Penor, di sini sejak tujuh tahun lalu disabitkan dengan kesalahan merogol menerima hukuman 18 tahun penjara dan enam sebatan.
Abu yang berasal dari Maran berkata, sebelum meringkuk dalam penjara, dia bekerja sebagai mekanik termasuk sebagai pemandu lori namun disebabkan hawa nafsu liar dia terbabit dengan kesalahan merogol.
Katanya, hukuman yang diterima membuatkan rumah tangga yang dibina kini hancur dan musnah, tiga anaknya kini di bawah jagaan bekas isteri di kampung tanpa pembelaan seorang ayah.
“Saya kini insaf dan malu dengan keterlanjuran lalu yang mengheret diri ini ke dalam penjara, tidak cukup dengan itu lapan sebatan rotan singgah ke punggung enam tahun lalu namun parutnya tetap kekal hingga ke hari ini.
“Detik bebas pada 2030 akan menjadi detik mendebarkan untuk berhadapan dengan keluarga dan masyarakat, imej sebagai bekas banduan pastinya tidak dapat dikikis dalam tempoh singkat,” katanya pada Majlis Konvokesyen Kelas Pengajian Agama Islam Tafaqquh Fiddin Peringkat Prospek Penjara Penor di Dewan Melati, Penjara Penor, di sini baru-baru ini.
Beliau antara sepuluh banduan yang mendapat pendidikan sepenuh masa di Sekolah Tahfiz Baitul Hikmah Penjara Penor, di sini di bawah bimbingan Mohd Norhidayat Abu Bakar.
Menurut Abu, dia mula mengenal al-Quran ketika berada dalam tahanan reman di Penjara Penor dan rakan dalam sel penjara menjadi guru pertama yang mengajarnya membaca Kalam Allah SWT itu setiap hari tanpa jemu siang dan malam.
Katanya, minat yang mendalam membolehkan dia membaca al-Quran dalam tempoh beberapa bulan sahaja, selepas selesai menjalani hukuman sebatan pada 2020, dia mula diterima belajar sepenuh masa di Sekolah Tahfiz Baitul Hikmah Penjara Penor.

“Alhamdulillah selepas lima tahun belajar saya kini mampu menghafaz 16 juzuk al-Quran, kejayaan itu anugerah Allah SWT pada saya yang sebelum ini melakukan dosa besar hingga akhirnya terhumban di sebalik tembok penjara.
“Saya sentiasa berdoa semoga Allah SWT memberi sinar yang terang untuk saya terus menghafaz al-Quran, diharapkan sebelum bebas pada 2030 lebih banyak lagi ayat al-Quran dapat dihafaz,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Penjara Penor, Penguasa Penjara Mohamad Hasnor Abd Hamid berkata, kini terdapat sepuluh banduan yang terbabit dengan pelbagai kesalahan belajar sepenuh masa di Sekolah Tahfiz Baitul Hikmah Penjara Penor.
Katanya, setiap kali program keagamaan diadakan, pelajar Sekolah Tahfiz Baitul Hikmah Penjara Penor akan terbabit secara langsung, selain membaca al-Quran mereka turut terbabit mengadakan persembahan nasyid dan berzanji.
“Kita akan terus berusaha melahirkan lebih ramai lagi banduan yang celik agama dalam memastikan mereka tidak terus mengulangi kesalahan seterusnya kembali menghuni penjara,” katanya.
IMedikel TV






