Oleh: Wartawan IMedikel TV
KULAI: Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) menutup sementara sebuah premis di Kawasan Perindustrian Indahpura, di sini, susulan tindakan pihak berkenaan memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata penutupan itu berkuat kuasa sehingga pihak syarikat terbabit tampil memberikan penjelasan serta melengkapkan perakuan aku janji berhubung insiden berkenaan.
Katanya kerajaan negeri memandang serius kejadian itu dan tidak akan berkompromi terhadap kecuaian yang disifatkan mengecewakan.
“Saya kesal dan kecewa dengan kecuaian serta tindakan tidak bertanggungjawab ini. Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai bendera, tetapi lambang kedaulatan, maruah dan identiti negara.
“Begitu juga Bendera Negeri Johor yang membawa identiti, maruah dan kedaulatan negeri serta wajib dihormati oleh setiap pihak yang berada dan menjalankan urusan di bumi Johor.
“Perkara seperti ini tidak boleh dianggap remeh, tidak boleh dinormalisasikan dan tidak boleh dibiarkan berlalu tanpa tindakan. Lebih-lebih lagi apabila dua simbol penting, Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Johor didapati dipasang dalam keadaan terbalik di premis yang sama,”katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Menurut beliau, kedua-dua bendera yang dipasang secara tidak betul itu juga telah diperbetulkan dengan serta-merta.
Katanya penutupan sementara premis dibuat menerusi Undang-Undang Kecil (UUK) 49(2), iaitu kuasa menutup premis dan UUK 45(1), iaitu pengibaran bendera di bawah UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2019.

“Pada masa sama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan, manakala pengarah syarikat berkenaan akan dipanggil dengan kadar segera untuk memberikan penjelasan.
“Sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang atau syarat yang berkuat kuasa, tindakan selanjutnya mesti diambil tanpa pilih kasih,”katanya
Beliau turut memberi peringatan tegas kepada semua pemilik premis, syarikat dan pihak industri di Johor supaya menghormati Jalur Gemilang.
Katanya alasan kecuaian tidak boleh dijadikan lesen untuk memperlekehkan simbol kedaulatan negara.
“Hormatilah Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Johor. Pastikan setiap pemasangan bendera dibuat dengan betul, tertib dan penuh rasa tanggungjawab.
“Alasan kecuaian tidak boleh dijadikan alasan untuk memandang ringan penghormatan terhadap simbol kedaulatan negara dan negeri.
“Kerajaan Negeri Johor tidak akan berkompromi dalam soal penghormatan terhadap Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Johor.
“Kita akan menunggu hasil siasatan bagi menentukan punca serta tanggungjawab pihak terlibat, namun pendirian kita jelas maruah negara mesti dipelihara, maruah Negeri Johor mesti dijunjung, bendera mesti dihormati dan undang-undang mesti ditegakkan,”katanya.
IMedikel TV






