Home Buletin Semasa UBAHSUAI MOTOR JADI ‘TREND’, ADA YANG SANGGUP BELANJA RM15,000

UBAHSUAI MOTOR JADI ‘TREND’, ADA YANG SANGGUP BELANJA RM15,000

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Golongan muda kini sanggup berbelanja sehingga RM15,000 untuk tampil lebih menonjol berbanding rakan lain dengan mengubah suai motosikal mereka secara ekstrem.

Perkara itu didedahkan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd Misuari Abdullah, yang berkata kecenderungan golongan muda melakukan pengubahsuaian motosikal secara berlebihan antara perkara yang diberi perhatian menerusi Ops Ekstrem JPJ Kelantan.

Menurutnya, pengubahsuaian motosikal bukan lagi sekadar memenuhi minat atau hobi apabila sesetengah pemilik sanggup membelanjakan jumlah yang besar untuk menjadikan motosikal mereka lebih menarik dan berbeza daripada yang lain.

“Yang ubah suai ini biasa yang paling biasa kos serendah RM500.

“Kalau hobi, RM15,000 itu bukan sedikit. Mereka mahu ada identiti dan lebih menonjol dalam kalangan rakan-rakan.

“Jiwa remaja memang mahu kelainan. Apabila motosikal yang ada di pasaran dirasakan tidak cukup menarik, mereka mula mengubah suai sedikit demi sedikit sehingga akhirnya terhasil sebuah motosikal yang dianggap sangat hebat,” katanya pada sidang media Ops Ekstrem JPJ Kelantan di sini, hari ini.

Mohd Misuari berkata, perkembangan teknologi dan kemudahan pembelian secara dalam talian turut memudahkan golongan muda mendapatkan pelbagai komponen pengubahsuaian motosikal.

Katanya, pembelian komponen secara berperingkat menyebabkan pemilik mungkin tidak menyedari jumlah keseluruhan perbelanjaan yang telah dikeluarkan sehingga motosikal siap diubah suai.

“Bukan RM15,000 itu dibelanjakan sekaligus. Mereka beli sedikit-sedikit, pasang sedikit-sedikit, akhirnya terhasillah sebuah kenderaan yang pada mereka sangat hebat.

“Bila sudah hebat, mereka mula mahu menguji kemampuan dan mencari kawasan untuk berlumba. Lama-kelamaan ia menjadi trend,” katanya.

Beliau berkata, JPJ Kelantan bukan mahu menyekat minat masyarakat terhadap motosikal, namun pengubahsuaian yang mengubah spesifikasi asal, menjejaskan keselamatan atau mengganggu pengguna jalan raya tidak boleh dikompromi.

Beliau berkata aktiviti tersebut bermula seawal jam 3 pagi.

“Mereka bermula dengan tiga orang. Lepas itu dia berkenalan sesama mereka dan boleh mencecah hingga 10 orang.

“Biasanya aktiviti tersebut pada hujung minggu dan paling muda yang terlibat berumur 15 tahun,”katanya.

Katanya, sepanjang Januari hingga Ogos 2026, sebanyak 1,100 kenderaan dikenakan tindakan, manakala 266 kenderaan disita.

Dalam tempoh sama, JPJ Kelantan turut mengeluarkan 2,248 notis, selain 1,016 notis lain.

“Antara kesalahan yang dikesan termasuk 398 kes sistem lampu, 187 kes sistem ekzos, 87 kes tayar dan rim serta 64 kes pengubahsuaian bentuk dan peralatan.

“Kesalahan nombor pendaftaran pula mencatat jumlah tertinggi dengan 947 kes,” katanya.

Katanya JPJ turut mengesan motosikal yang diubah suai membabitkan sistem ekzos, tayar, lampu, swing arm, ECU dan sistem brek.

“Kami sudah merangka strategi bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan mengenal pasti beberapa lubuk.

“Amaran kepada semua yang mahu menduga kelajuan, kita tidak akan duduk diam,”katanya.

Mohd Misuari turut menasihatkan ibu bapa supaya memantau motosikal yang digunakan anak-anak, terutama golongan remaja.

“Sayangilah anak-anak dan jangan biarkan mereka terjerumus. Kalau motosikal yang dibawa balik tidak kena, laporkan kepada kita.

“Sayang anak daripada sayang motor.”

Katanya pemilik motosikal yang melakukan pengubahsuaian ekstrem boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk denda hingga RM2,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya selain motosikal boleh disita mengikut kesalahan dan peruntukan undang-undang berkaitan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here