Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
PEKAN: Resipi istimewa yang diwarisi dan dipertahankan lebih tiga dekad menjadi rahsia Murtabak Opor Pekan terus mendapat tempat dalam kalangan penggemar makanan, sehingga mampu terjual sehingga 300 keping sehari.
Bagi pemilik Murtabak Opor Meletup, Jamilah Abd Rahman, 65, bersama anaknya, Shaarbanu Ismail, 46, sambutan menggalakkan itu menjadi sumber rezeki keluarga yang diusahakan sejak lebih 30 tahun lalu.
Menurut Jamilah, permintaan terhadap murtabak opor daging dan ayam lazimnya meningkat tiga hingga empat kali ganda sepanjang Ramadan, menyebabkan mereka perlu bekerja lebih keras bagi memenuhi tempahan pelanggan.

“Setiap hari saya bersama anak dan dua pembantu menyediakan murtabak opor serta murtabak istimewa menggunakan resipi yang kami hasilkan sendiri.
“Ketika Ramadan, tempahan boleh meningkat dengan begitu banyak sehingga pada waktu tertentu kami terpaksa menolak tempahan kerana tidak mampu menyiapkannya dalam jumlah yang banyak pada masa sama,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Jamilah berkata, bagi menghasilkan murtabak opor yang menjadi tarikan pelanggan, mereka menggunakan kira-kira 50 kilogram (kg) daging lembu segar, 50kg ayam dan 50kg tepung setiap hari, selain telur, rempah opor khas keluaran pengusaha tempatan, ubi kentang, lada, daun bawang, tomato dan minyak masak.
Katanya, penyediaan murtabak opor memerlukan beberapa proses awal bagi memastikan inti dan doh mencapai kualiti yang ditetapkan.
“Bahan utama yang sudah diadun perlu dimasak terlebih dahulu menggunakan kuali besar sebelum dimasukkan ke dalam dua lapisan doh roti canai untuk proses menggoreng.
“Rempah opor tempatan yang digunakan tidak pahit dan rasanya tidak terlalu kuat, manakala doh pula perlu lembut di bahagian dalam walaupun murtabak digoreng sehingga garing,” katanya.
Menurutnya, penggunaan daging lembu segar turut menjadi antara keistimewaan murtabak opor berkenaan kerana menghasilkan rasa inti yang lebih enak dan berkualiti.
Jamilah berkata, murtabak opor daging dan ayam dijual pada harga RM20 sebiji, manakala murtabak istimewa daging dan ayam pula berharga RM14.
Sementara itu, Shaarbanu berkata, dia sudah membantu ibunya menyediakan murtabak dan roti canai sejak masih bersekolah, sekali gus menjadikan pengalaman lebih tiga dekad itu sebagai kelebihan dalam menghasilkan makanan berkenaan.
“Sejak di bangku sekolah lagi saya sudah membantu ibu. Jadi, saya membesar dengan kemahiran membuat murtabak dan roti canai.
“Pengalaman itu banyak membantu saya untuk memastikan kualiti dan rasa murtabak opor sentiasa dikekalkan,” katanya.
Menurutnya, Murtabak Opor Pekan kini semakin dikenali dan terus menerima permintaan menggalakkan daripada penggemar makanan berkenaan, termasuk pelanggan yang datang berulang kali.
IMedikel TV






