Home Buletin Semasa PENUNGGANG MAUT, HONDA EX5 TERLANGGAR PEMBAHAGI JALAN

PENUNGGANG MAUT, HONDA EX5 TERLANGGAR PEMBAHAGI JALAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Seorang lelaki maut selepas motosikal Honda EX5 ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan di Kilometer 15.8 Lebuhraya Rakyat, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa berusia 21 tahun yang menunggang motosikal dari arah Ketereh menghala ke Kota Bharu itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kemalangan maut itu daripada Gerakan Kota Bharu menerusi Kaunter Aduan Trafik Kota Bharu kira-kira jam 1.45 pagi.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai menunggang motosikal dalam keadaan laju sebelum hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian.

“Motosikal berkenaan kemudian melanggar pembahagi jalan yang berada di bahu kiri jalan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian untuk proses bedah siasat.

Mohd Azmir berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu atau Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Naqiyuddin Sharifuddin di talian 09-7752315.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu atau menunggang, selain mematuhi undang-undang serta isyarat lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here