Home Buletin Semasa 60 KERETA MEWAH ‘SERBU’ UMPSA, MERIAHKAN SAMBUTAN HARI KEPUTERAAN SULTAN PAHANG

60 KERETA MEWAH ‘SERBU’ UMPSA, MERIAHKAN SAMBUTAN HARI KEPUTERAAN SULTAN PAHANG

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menjadi lokasi persinggahan 60 kenderaan mewah pelbagai jenama sempena program perhimpunan dan konvoi kereta mewah di Pekarangan Dataran Kompleks Perkhidmatan Akademik, UMPSA Kampus Paya Besar, di sini, kelmarin.

Program musim ketiga itu dianjurkan dengan kerjasama Menara Kuantan 188 sebagai antara pengisian bagi memeriahkan sambutan Hari Keputeraan Sultan Pahang.

Majlis pelepasan konvoi disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMPSA, Profesor Dr Kamal Yusoh.

Dr Kamal berkata, penganjuran kali ketiga itu membuktikan komitmen berterusan UMPSA dalam menyokong program berimpak tinggi sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Pahang.

Menurutnya, perhimpunan berkenaan bukan sahaja menghimpunkan pemilik kenderaan mewah, malah membuka ruang kepada UMPSA memperkenalkan produk serta memperkukuh jenamanya kepada masyarakat.

“Program ini turut menjadi platform menghimpunkan pemilik kereta mewah, selain membuka peluang kepada warga kampus membina jaringan hubungan yang berpotensi memberi manfaat pada masa akan datang.

“Pada masa sama, ia memberi peluang kepada masyarakat untuk mengenali UMPSA dengan lebih dekat,” katanya.

Sementara itu, pengasas bersama kelab Motor Drive Group (MDG), Aizul Johann Zulkifli berkata, program berkenaan diharap dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penyertaan lebih ramai pemilik kenderaan mewah.

Katanya, penganjuran kali ini turut mencuri perhatian apabila disertai pengembara dari Albuquerque, New Mexico, Amerika Syarikat, Keith Sinclair yang membawa kenderaan Dodge Challenger Scat Pack 2016 yang diubah suai untuk kegunaan ekspedisi mengelilingi dunia.

“Lebih 100 pelajar UMPSA berpeluang bertemu pemilik kenderaan mewah dan berkongsi pengalaman bersama mereka.

“Malah, sebahagian pelajar turut diberi peluang menaiki kenderaan berkenaan serta menyertai konvoi menuju Menara Kuantan 188,” katanya.

Selain perhimpunan kenderaan mewah, program turut diserikan dengan aktiviti senamrobik serta sesi ramah mesra antara peserta konvoi, warga kampus dan komuniti setempat.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here