Home Buletin Semasa MRSM ULUL ALBAB PERTAMA DI TANAH MERAH MULA DIBINA SUKU PERTAMA 2027

MRSM ULUL ALBAB PERTAMA DI TANAH MERAH MULA DIBINA SUKU PERTAMA 2027

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

TANAH MERAH: Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab pertama di Tanah Merah dijangka mula dibina pada suku pertama tahun depan dan bakal beroperasi pada 2030, kata Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, projek berkenaan mengambil masa kira-kira dua hingga tiga tahun untuk disiapkan dan akan menjadi satu lagi inisiatif MARA dalam memperluas akses kepada pendidikan berkualiti berteraskan al-Quran serta kecemerlangan akademik.

“Insya-Allah, pembinaan MRSM ini dijangka bermula pada suku pertama tahun 2027 dengan tempoh pembinaan sekitar dua hingga tiga tahun sebelum memulakan operasi pada 2030,” katanya dalam hantaran di media sosial selepas melakukan lawatan tapak pembinaan MRSM Ulul Albab Tanah Merah, pada Jumaat.

Menurutnya, MRSM berkenaan dibangunkan di atas tapak seluas 68 ekar dengan kawasan pembangunan meliputi 30 ekar.

Beliau berkata, MRSM Ulul Albab Tanah Merah bakal menjadi MRSM Ulul Albab ke-9 di Malaysia dan MRSM ke-6 di Kelantan dengan kapasiti keseluruhan 750 pelajar.

Asyraf Wajdi berkata, kewujudan MRSM berkenaan bukan sekadar menambah peluang pendidikan berkualiti kepada masyarakat setempat, malah menjadi wadah melahirkan lebih ramai huffaz teknokrat yang mampu menguasai ilmu wahyu dan ilmu saintifik secara seimbang.

“MRSM Ulul Albab ini akan membawa aspirasi pendidikan yang berteraskan Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik dalam usaha melahirkan generasi al-Quran yang bukan sahaja menghafaz al-Quran, malah menguasai ilmu sains, teknologi serta ilmu kontemporari,” katanya.

Jelasnya, pendekatan itu penting bagi membentuk generasi yang mempunyai keseimbangan antara penguasaan ilmu agama dengan bidang akademik dan kemahiran semasa.

Tambahnya, golongan huffaz teknokrat yang dilahirkan melalui sistem pendidikan Ulul Albab diharap mampu menjadi generasi pewaris yang berpengetahuan luas serta berupaya memimpin masa depan ummah.

Menurutnya, pembangunan MRSM berkenaan juga diharap dapat memberi manfaat lebih luas kepada masyarakat Tanah Merah dan kawasan sekitarnya.

“Saya berharap pembinaan MRSM ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat serta menyuburkan budaya ilmu dan kecintaan terhadap al-Quran di Tanah Merah,” katanya.

Beliau berkata, kemudahan pendidikan seperti itu mampu mewujudkan ekosistem ilmu yang memberi manfaat bukan sahaja kepada pelajar, malah masyarakat setempat.

Dalam masa sama, beliau berharap pembangunan MRSM Ulul Albab Tanah Merah dapat dilaksanakan dengan lancar mengikut perancangan ditetapkan sebelum mula menerima pelajar pada 2030.

MRSM Ulul Albab merupakan antara pendekatan pendidikan MARA yang menggabungkan pengajian al-Quran dengan pendidikan sains, teknologi dan ilmu kontemporari bagi melahirkan pelajar yang seimbang dari aspek akademik dan kerohanian.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here