Home Buletin Semasa PERKASA DIALOG,MEDIASI DALAM USAHA TANGANI KONFLIK SOSIAL DAN PERPADUAN

PERKASA DIALOG,MEDIASI DALAM USAHA TANGANI KONFLIK SOSIAL DAN PERPADUAN

Oleh: Wartawan IMedikel TV

PENANG: Kajian Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) menunjukkan media sosial antara 10 cabaran yang menjadi ancaman besar kepada perpaduan sesama masyarakat di negara ini.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata ia menunjukkan bahawa cabaran perpaduan kini bukan lagi hanya berlaku dalam komuniti fizikal tetapi juga era digital.

Katanya, situasi itu dapat dilihat apabila platform media sosial kini boleh menjadi medium penyebaran fitnah, kebencian, provokasi perkauman dan agama serta maklumat palsu.

“Oleh itu, pentingnya dialog dan mediasi komuniti yang perlu diperkasakan sebagai benteng utama dalam menangani konflik sosial dan memperkukuhkan perpaduan masyarakat terutamanya dalam era digital yang semakin mencabar.

“Dialog bukan sekadar ruang perbincangan, sebaliknya menjadi medium membina kepercayaan, meningkatkan persefahaman dan mencari penyelesaian secara aman tanpa menghapuskan perbezaan dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Dialog Aman, Responsif dan Empati Sosial: DARES@Komuniti Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Hadir sama, EXCO Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat Pulau Pinang, Goh Choon Aik.

Dalam pada itu, Aaron Ago dalam ucapannya berkata, kementeriannya terus memperkukuhkan inisiatif mediasi komuniti sebagai mekanisme penyelesaian pertikaian secara aman, cepat dan berhemah tanpa perlu membawa setiap konflik ke mahkamah.

Menurutnya, terdapat sebanyak 10 Pusat Mediasi Komuniti kini beroperasi di seluruh negara dengan menawarkan perkhidmatan percuma, manakala 12 lagi organisasi baharu dikenal pasti bagi memperluas pelaksanaannya melalui kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Antara isu utama yang sering berjaya diselesaikan melalui mediasi ialah pertikaian kejiranan, sensitiviti agama, konflik kekeluargaan, harta milik bersama, isu tanah, alam sekitar, perjanjian atau kontrak, serta isu kepenggunaan. 

“Isu-isu seperti gangguan bunyi, parkir, pembakaran terbuka, sempadan tanah dan salah faham antara komuniti sering dapat diselesaikan melalui pendekatan dialog yang dipandu oleh mediator terlatih,” katanya.

Untuk rekod, sejak 2017 hingga 2025, sebanyak 1,273 kes berjaya diselesaikan melalui mediasi komuniti yang membuktikan dialog dan persefahaman mampu menjadi penyelesaian lebih berkesan berbanding konfrontasi.

Malah, model mediasi komuniti Malaysia juga mendapat perhatian di peringkat antarabangsa dan menjadi antara amalan terbaik yang dirujuk oleh negara-negara ASEAN dalam memperkukuhkan keamanan masyarakat pelbagai kaum dan agama. 

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here