Oleh:Wartawan IMedikel TV
PENANG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menyita 107 kenderaan termasuk kereta mewah yang dipandu warga asing menerusi Op Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) yang dilaksanakan selama 45 hari sejak 16 Jun lalu.
Pengarah JPJ negeri, Zulkifly Ismail berkata,sitaan dibuat atas kesalahan tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.
Katanya, kenderaan yang disita terdiri daripada golongan profesional serta ahli perniagaan dari China dan Myanmar.
“Op Khas PeWA ini dilaksanakan bagi membanteras kegiatan warga asing yang memandu atau mengendalikan kenderaan tanpa lesen memandu sah.
“Selain itu,kita turut mengesan pemilik kenderaan yang membenarkan individu tidak layak memandu kenderaan mereka,”katanya pada sidang media berhubung pelaksanaan Op PeWA di Pejabat JPJ negeri di Seberang Jaya, di sini, hari ini.
Beliau berkata, sepanjang operasi bermula 16 Jun hingga hari ini, sebanyak 8,458 kenderaan dipandu warga asing diperiksa.
“Hasil pemeriksaan, sebanyak 317 kenderaan diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.
“Selain itu, 587 notis saman dikeluarkan kepada pesalah warga asing, manakala 107 kenderaan termasuk kereta mewah pelbagai jenama disita sepanjang operasi berkenaan,” katanya.
Menurutnya, mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, tindakan bukan sahaja dikenakan terhadap pemandu yang memandu tanpa lesen, malah pemilik kenderaan yang membenarkan individu berkenaan memandu.
Dalam pada itu, Zulkifly berkata, warga asing yang ingin memandu di negara ini perlu memiliki lesen memandu yang sah mengikut peraturan ditetapkan, termasuk lesen memandu Malaysia atau lesen memandu antarabangsa yang diperoleh sebelum memasuki negara ini.
“Bagi mana-mana warga asing yang ingin memandu di negara ini, mereka juga mesti mematuhi peraturan yang sedia ada sebagaimana warga tempatan.
“Untuk lesen antarabangsa, dia kena mohon sebelum dia hadir ke negara kita, dia kena mohon di negara dia untuk memandu di negara ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Zulkifly berkata, bagi statistik penguatkuasaan dari 1 Januari hingga hari ini, sebanyak 5,874 motosikal diperiksa dengan 478 dikenakan tindakan, manakala 154 motosikal disita.
“Bagi kereta pula, 4,978 kenderaan diperiksa dengan 154 dikenakan tindakan dan 18 kereta disita.
“Operasi ini akan diteruskan secara berterusan dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain bagi memastikan pematuhan undang-undang serta meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.
IMedikel TV






