Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Di sebalik keseronokan ke sekolah, tersimpan kisah yang meninggalkan parut mendalam kepada mangsa serta keluarga sehingga ada yang hilang semangat untuk ke sekolah.
Tiga ibu berkongsi pengalaman pahit anak masing-masing yang didakwa menjadi mangsa buli, sekali gus memberi gambaran bahawa kesannya bukan sekadar kecederaan fizikal, malah turut menjejaskan emosi dan masa depan.
Bagi Nurul dari Bachok, kejadian yang menimpa anak lelakinya ketika di Tahun Dua masih segar dalam ingatan.
Menurutnya, dia menerima panggilan daripada seorang guru yang memaklumkan anaknya terjatuh ketika mengikuti kelas KAFA dan memintanya segera datang ke sekolah.
“Kejadian berlaku tahun lalu. Saya tanya macam mana dia jatuh, tetapi tiada penjelasan diberikan. Bila sampai di sekolah, saya nampak kepala anak saya berdarah dengan agak teruk.
“Dalam perjalanan ke hospital, barulah anak saya beritahu dia bukan terjatuh, tetapi didakwa ditolak dari belakang sebelum rakannya melompat ke atas badannya,” katanya.
Nurul berkata, doktor yang merawat memaklumkan luka dialami anaknya agak serius sehingga tulang dapat dilihat dan menyarankan supaya laporan polis dibuat.
Bagaimanapun, katanya, dia memilih untuk tidak membuat laporan kerana tidak mahu mencemarkan nama sekolah.
“Keesokan hari guru KAFA datang ke rumah untuk berbincang mengenai hal terbabit.
“Apa yang mengecewakan saya ialah perkara sebenar tidak dimaklumkan sejak awal. Sehingga hari ini saya masih tidak menerima sebarang perkembangan mengenai tindakan susulan,” katanya.
Sementara itu, Hazura dari Kota Bharu pula berkata, anak perempuannya yang kini sepatutnya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) didakwa mengalami trauma selepas menjadi mangsa ejekan berkaitan warna kulit ketika berada di Tingkatan Empat.
Katanya, pada mulanya dia menyedari perubahan sikap anaknya yang menjadi murung, tidak lagi bersemangat ke sekolah dan sering menangis, namun tidak mengetahui puncanya.
“Hanya selepas anak bercerita kepada adik rakan saya, barulah saya tahu dia didakwa menjadi mangsa body shaming hampir setiap hari oleh kawan-kawannya.
“Kemudian saya minta anak tulis karangan kronologi kejadian dan menyerahkannya kepada guru. Guru tersebut terkejut, dan memaklumkan untuk mengambil tindakan, tetapi saya agak terkilan apabila tindakan yang diambil sekadar hanya memberi nasihat,” katanya.
Menurut Hazura, keadaan itu menjadi semakin buruk apabila anaknya didakwa dipulaukan sehingga enggan hadir ke sekolah.
Katanya, walaupun dia berusaha memujuk setiap hari, anaknya akhirnya mengambil keputusan berhenti sekolah secara sukarela selepas tidak lagi mampu berdepan tekanan.
“Saya memaklumkan kepada guru berkenaan anak saya sudah enggan ke sekolah. Jadi guru di sekolah berkenaan datang ke rumah untuk berbincang.
“Anak saya mengambil keputusan untuk berhenti secara sukarela tahun lalu. Tahun ini sepatutnya dia menduduki SPM, tetapi dia enggan kembali ke sekolah kerana trauma. Dia hanya mahu mengambil SPM sebagai calon persendirian.
“Apa yang membuatkan saya terkilan adalah yang dibuli pula terpaksa berhenti sekolah, sedangkan yang membuli masih meneruskan persekolahan seperti biasa,” katanya dengan nada kecewa.
Bagi seorang lagi ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Ayu dari Pasir Puteh, pengalaman anak lelakinya berbeza apabila kesan dibuli didakwa mengubah tingkah lakunya.
Katanya, anaknya pernah menjadi mangsa buli sejak Tahun Satu sehingga dia mengambil keputusan menukarkan sekolah.
“Kemuncaknya anak saya pernah jadi punching bag di sekolah lama, kena cubit sampai lebam dan meninggalkan kesan selama dua minggu. Jadi saya mengambil keputusan untuk tukar sekolah anak,”katanya.
Bagaimanapun, selepas berpindah sekolah, anaknya didakwa sekali lagi menjadi mangsa buli apabila pernah disepak dan dipanggil “gila” oleh rakan.
“Sekarang anak saya Tahun Empat. Apa yang paling menyedihkan saya ialah sekarang anak saya pula menjadi pembuli. Saya tidak sangka perkara itu berlaku.
“Saya sudah banyak kali menasihati dan memarahinya. Saya bukan ibu yang membela anak jika dia bersalah, tetapi saya percaya apa yang berlaku ada kaitan dengan pengalaman lampau ketika dia sendiri menjadi mangsa buli,” katanya.
Menurutnya, masyarakat sering melihat pembuli sebagai pihak yang bersalah tanpa mengetahui kemungkinan mereka juga pernah menjadi mangsa sehingga tingkah laku itu terbentuk akibat pengalaman lalu.
“Kerjasama antara pihak sekolah dengan ibu bapa penting dan perlu profesional untuk kebaikan dan masa depan pelajar itu sendiri,”katanya.
Ketiga-tiga ibu itu berharap isu buli di sekolah diberikan perhatian lebih serius oleh semua pihak supaya tiada lagi kanak-kanak atau remaja yang terpaksa menanggung kesan berpanjangan terhadap emosi, pendidikan dan masa depan mereka.
Media sebelum ini melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pihak sekolah supaya tidak melindungi atau menyembunyikan kejadian buli semata-mata untuk menjaga imej dan prestasi institusi pendidikan.
Perdana Menteri berkata, pentadbir sekolah perlu bersikap telus dalam mengendalikan kes disiplin kerana tindakan menyembunyikan insiden hanya akan membiarkan kezaliman terus berulang, sekali gus menjejaskan keselamatan murid dan pelajar.
“Saya mengingatkan pengetua dan guru besar supaya mengambil perkara ini sebagai satu sikap yang sangat penting. Tidak bermakna apabila satu kes berlaku dan dihebahkan, sekolah itu gagal.
“Kalau guru besar memilih untuk mendedahkan kes itu, saya hormat kerana dia tidak cuba melindungi semata-mata hendak menjaga imej sekolah atau prestasi sekolah,” katanya.
Anwar berkata, ibu bapa tidak sepatutnya dipaksa menerima hakikat bahawa anak mereka berasa takut untuk ke sekolah akibat dibuli atau didera, sama ada membabitkan kes kecil atau serius.
IMedikel TV






