Home Buletin Semasa AADK SAHKAN EMPAT PENGHUNI PUSPEN SUDAH DITAHAN SEMULA

AADK SAHKAN EMPAT PENGHUNI PUSPEN SUDAH DITAHAN SEMULA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KAJANG: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menafikan dakwaan tular yang mendakwa empat penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Perlop, Perak yang melarikan diri berada di sekitar Bandar Baru Bangi dan mengancam keselamatan orang awam.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya mengesahkan keempat-empat penghuni terbabit telah berjaya ditahan semula di sekitar daerah Sungai Siput, Perak dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penduduk kampung.

Menurutnya, kejadian itu berlaku pada Jumaat lalu sebelum semua penghuni berkenaan berjaya diberkas semula.

“Sehubungan itu, mesej yang tular mendakwa penghuni terbabit berada di sekitar Bandar Baru Bangi serta dianggap berbahaya kepada orang ramai adalah palsu.

“Kesemua penghuni hanya berada di sekitar daerah Sungai Siput, Perak sebelum berjaya ditangkap semula,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, AADK telah menjalankan siasatan dalaman secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian, termasuk meneliti sama ada wujud unsur kecuaian atau ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, tindakan tatatertib dan undang-undang akan diambil sekiranya siasatan mendapati terdapat kecuaian dalam kalangan kakitangan yang terlibat.

Ruslin turut menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh mencetuskan keresahan awam.

“Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana individu yang menyebarkan berita palsu mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta peruntukan undang-undang lain yang berkuat kuasa,” katanya.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here