Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR MAS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menumpaskan dua kes penyelewengan minyak masak bersubsidi menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) di Tanah Merah dan Pasir Mas, semalam, dengan rampasan keseluruhan bernilai RM48,245.
KPDN menerusi laman rasmi memaklumkan operasi yang bermula kira-kira jam 6 petang itu dijalankan Unit Risikan dan Tindakan Khas (URTK) KPDN Kelantan dengan kerjasama KPDN Cawangan Pasir Mas, Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga (PPMW3) Pengkalan Kubor dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Operasi berkenaan dilaksanakan hasil risikan dan pemantauan selama beberapa hari selepas mengesan sebuah kenderaan yang disyaki membawa barang kawalan dari Terengganu memasuki Kelantan melalui laluan Jerteh, Pasir Putih, Machang dan Tanah Merah sebelum menuju ke Pasir Mas.
“Pasukan operasi mengekori pergerakan suspek sejauh kira-kira 60 kilometer bagi mengenal pasti modus operandi serta destinasi akhir sebelum tindakan pintasan dan pemeriksaan dilakukan,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Kampung Alor Pasir, Tanah Merah, dua lelaki tempatan berusia 18 dan 29 tahun ditahan.
“Turut disita ialah sebuah Toyota Unser bersama 1,598 kilogram minyak masak bersubsidi pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan rampasan RM23,995,”menurut kenyataan itu.
Serbuan kedua di Jalan Ban Repok-Kampung Pak Teh Kana, Pasir Mas pula membawa kepada penahanan dua lagi lelaki tempatan berusia 27 dan 39 tahun.
“Dalam serbuan itu, pasukan operasi merampas sebuah Mitsubishi Pajero serta 1,700 kilogram minyak masak bersubsidi, menjadikan nilai keseluruhan sitaan bagi kes berkenaan sebanyak RM24,250.
“Secara keseluruhan, sebanyak 3,298 kilogram minyak masak bersubsidi bernilai RM8,245 berjaya disita, manakala nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan yang digunakan mencecah RM48,245,”jelas kenyataan itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.
KPDN Kelantan menegaskan pihaknya akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan secara bersepadu bagi membanteras penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan bersubsidi, selain memastikan bekalan subsidi kerajaan sampai kepada golongan yang benar-benar layak.
IMedikel TV






