KUANTAN: Seramai 250 prospek Penjara Penor menyertai program gotong-royong memasak tiga kawah bubur Asyura sempena bulan Muharam yang diadakan di perkarangan Masjid As-Syakirin, Penjara Penor, di sini, kelmarin.
Program itu bukan sahaja menghidupkan tradisi penyediaan bubur Asyura yang sinonim dengan masyarakat Melayu, malah menjadi medium untuk memupuk semangat kerjasama, perpaduan dan nilai hidup bermasyarakat dalam kalangan prospek.
Timbalan Pengarah Penjara Penor, Penguasa Penjara (PP) Mohamad Hasnor Abd. Hamid berkata, program berkenaan memberi peluang kepada prospek menghayati nilai kebersamaan menerusi aktiviti gotong-royong yang melibatkan penyediaan bubur Asyura versi Utara.
Menurutnya, penyediaan tiga kawah bubur Asyura itu dilakukan secara bergotong-royong oleh prospek dengan bantuan kakitangan serta anggota Unit Pemulihan dan Rawatan (PPI) Penjara Penor.
“Sepanjang program, peserta berganding bahu menyediakan bahan-bahan masakan, mengacau bubur sehingga siap sebelum ia diagihkan kepada prospek Penjara Penor.
“Jelas terpancar kegembiraan dan kepuasan pada wajah prospek yang diberi peluang menyertai program ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata, peserta meluangkan lebih empat jam bermula jam 9 pagi bagi menyiapkan bubur Asyura yang kemudiannya diagihkan kepada penghuni penjara.
Mohamad Hasnor berkata, program seumpama itu akan diteruskan pada masa hadapan sebagai platform memperkukuh ukhuwah, menyemarakkan semangat gotong-royong serta memelihara warisan budaya yang menjadi kebanggaan masyarakat.
Katanya, maklum balas daripada prospek juga amat positif apabila ramai mengakui program berkenaan mengimbau kenangan bersama keluarga dan kehidupan bermasyarakat di luar tembok penjara, sekali gus menyuntik semangat untuk kembali menjalani kehidupan yang lebih baik selepas dibebaskan.