Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
GOMBAK: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terapung di sebuah lombong di Taman Tasik Rekreasi Tun Perak, Taman Jati, Batu 17, Rawang, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 7.45 pagi menerusi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.
“Siasatan awal di lokasi menemukan mayat seorang lelaki berbangsa Cina, warganegara Malaysia, dalam keadaan terapung di permukaan lombong.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kesan kecederaan luaran pada tubuh mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Katanya, buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) sementara menunggu laporan penuh bedah siasat.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ketua Polis Balai Rawang, Inspektor Zharif Zakaria di talian 03-6091 6222 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 03-6126 2222 bagi membantu siasatan.
IMedikel TV






