Home Buletin Semasa PRASEKOLAH PELOPORI PEMBELAJARAN DIGITAL, MURID ENAM TAHUN KUASAI TEKNOLOGI AI

PRASEKOLAH PELOPORI PEMBELAJARAN DIGITAL, MURID ENAM TAHUN KUASAI TEKNOLOGI AI

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Pendekatan pembelajaran berasaskan teknologi yang dilaksanakan di Prasekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Ketereh terus mencipta kejayaan apabila tiga murid berusia enam tahun dipilih berkongsi kreativiti mereka menerusi sesi Kids Can Create pada Program Karnival Edu Fun MADANI Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu 2026.

Guru Prasekolah SK Seri Ketereh, Adillah Mansor, berkata pendedahan kepada teknologi digital sejak di peringkat prasekolah membolehkan murid lebih berani berkarya, berfikiran kreatif serta bersedia menghadapi keperluan pendidikan masa hadapan.

“Prasekolah SK Seri Ketereh adalah perintis Digital Maker Hub di Kelantan sejak 2022 dan turut menerima pengiktirafan sempena Hari Guru Kebangsaan pada tahun yang sama hasil pelaksanaan pembelajaran berasaskan teknologi.

“Kami menggunakan pelbagai peranti dan aplikasi seperti iPad, green screen, dron, robotik serta teknologi Augmented Reality (AR) bagi menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih interaktif, menyeronokkan dan selari dengan perkembangan teknologi semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Karnival Edu Fun MADANI PPD Kota Bharu 2026, di sini, hari ini.

Adillah berkata, idea memperkenalkan pembelajaran digital bermula ketika pandemik COVID-19 pada 2021 apabila guru perlu menyesuaikan kaedah pengajaran secara dalam talian.

“Ketika itu kami menggunakan aplikasi dalam talian untuk berhubung dengan murid.

“Situasi tersebut membuka ruang kepada kami untuk meneroka kaedah pembelajaran digital yang lebih berkesan dan menarik,” katanya.

Menurutnya, murid turut diberi peluang meneroka teknologi AR dan didedahkan kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI), termasuk mempelajari asas pembinaan prompt bagi merangsang kreativiti serta kemahiran berfikir.

“Kebanyakan murid sudah biasa menggunakan peranti digital sejak kecil, justeru guru perlu membimbing mereka memanfaatkan teknologi itu untuk tujuan pembelajaran dan bukannya sekadar hiburan semata,”katanya

Beliau berkata, kejayaan program digital di sekolah itu turut dibantu Guru Pembantu, Diana Ros Zakaria, yang memainkan peranan penting dalam menjayakan pelbagai aktiviti dan program berasaskan teknologi.

Adillah berharap pendekatan pembelajaran digital yang diterapkan dapat melahirkan generasi muda yang celik teknologi, kreatif dan bersedia menghadapi cabaran era kecerdasan buatan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here