Home Buletin Semasa BATAL LESEN, PERMIT NETWORK SCHOOL DI JOHOR JIKA LANGGAR UNDANG-UNDANG – TUNKU...

BATAL LESEN, PERMIT NETWORK SCHOOL DI JOHOR JIKA LANGGAR UNDANG-UNDANG – TUNKU ISMAIL

27
0

Oleh: Wartawan IMedikel TV

JOHOR BAHRU: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah, kerajaan Johor akan menjalankan siasatan terperinci berhubung isu Network School di Forest City.

Titah baginda, sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang, syarat lesen atau peraturan, tindakan tegas akan diambil termasuk membatalkan lesen atau permit operasi syarikat berkenaan di Johor.

“Berhubung isu melibatkan Network School di Forest City baru-baru ini, sebarang perkara berkaitan kemasukan warga asing ke negara ini adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri Johor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menjalankan siasatan terperinci.

“Sekiranya berlaku sebarang pelanggaran undang-undang, syarat lesen atau peraturan, tindakan tegas akan diambil termasuk membatalkan lesen atau permit operasi syarikat berkenaan di Johor,” titah baginda dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihaknya menggesa Kerajaan Persekutuan membuat keputusan segera, jelas dan muktamad berhubung status individu yang terlibat serta operasi Network School di Forest City yang menjadi perhatian umum sejak kebelakangan ini.

Katanya, sebarang perkara berkaitan kemasukan warga asing ke negara ini adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Dalam bidang kuasa negeri, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) telah melaksanakan tindakan penguatkuasaan selepas menjalankan pemeriksaan terhadap pematuhan lesen perniagaan, penggunaan premis serta syarat-syarat papan iklan.

“Hasil pemeriksaan mendapati syarikat tersebut beroperasi di dua premis. Sebuah premis mempunyai lesen pejabat urusan yang sah, manakala sebuah lagi didapati beroperasi tanpa lesen perniagaan MBIP walaupun dimiliki oleh seorang warganegara tempatan.

“Selain itu, syarikat berkenaan turut didapati melanggar syarat jenis perniagaan yang dibenarkan apabila menggunakan premis berlesen sebagai ruang kelas serta menjalankan aktiviti promosi perniagaan tanpa mengemukakan permohonan secara terperinci,” katanya dalam satu kenyataan media di sini malam tadi.

Susulan itu, beliau berkata MBIP telah mengeluarkan Notis Henti Niaga terhadap premis yang beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah.

Katanya, pihak berkuasa tempatan itu turut mengeluarkan Notis Lesen Iklan di bawah Seksyen 107(2), Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana mempamerkan papan iklan yang tidak mematuhi syarat dan tidak selaras dengan kelulusan yang diberikan.

“MBIP akan meneruskan siasatan terhadap semua aspek yang berada di bawah bidang kuasanya.

“Jika didapati terdapat pelanggaran undang-undang, syarat lesen atau peraturan yang berkuat kuasa, tindakan penguatkuasaan lanjut akan diambil mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

Isu Network School di Forest City menjadi perhatian selepas timbul dakwaan dalam media sosial bahawa program berkenaan disertai warga asing, termasuk individu yang didakwa memiliki kewarganegaraan Israel dan memasuki Malaysia menggunakan pasport negara kedua.

Susulan itu, kerajaan Johor menggesa siasatan menyeluruh dijalankan terhadap identiti dan kewarganegaraan individu terbabit, dokumen perjalanan, penggunaan pasport kedua, jenis pas serta tujuan kemasukan ke Malaysia.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here