Oleh Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Seramai 12,974 calon akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) Tahun 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula esok hingga Khamis ini di 188 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, peperiksaan itu melibatkan tiga mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik.
“Bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan, seramai 1,530 petugas peperiksaan dilantik bagi mengendalikan Ujian Bertulis dan Ujian Mendengar Bahasa Melayu, manakala 1,366 petugas lagi ditugaskan untuk Ujian Bertutur Bahasa Melayu,”jelas kenyataan itu.
KPM mengingatkan semua calon supaya merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod serta kertas peperiksaan, selain mematuhi segala arahan yang ditetapkan sepanjang peperiksaan berlangsung.
Menurut kementerian itu, calon juga perlu membawa dokumen pengenalan diri serta Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.
“Selain itu, calon diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan pengurusan serta pengendalian peperiksaan berjalan lancar,” menurut kenyataan itu.
KPM turut mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera.
IMedikel TV






