Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Lima tahun lalu, hidup Ilyas Mohamad berubah sekelip mata apabila terjatuh ketika memanjat pokok kelapa.
Kini, lelaki berusia 34 tahun itu hanya mampu terlantar.
Namun apa yang lebih menyentuh hati ialah keadaan bapanya yang turut terlantar sejak dua tahun lalu.
Di sebuah rumah sederhana, dua beranak itu kini bergantung sepenuhnya kepada kasih sayang ahli keluarga yang tidak pernah jemu menggalas tanggungjawab sebagai penjaga.
Menurut Ilyas, kemalangan itu berlaku ketika dia memanjat pokok kelapa setinggi kira-kira 3.66 meter untuk mengambil kelapa muda.
Katanya, dia memilih pokok yang paling tinggi kerana buahnya masih muda, tanpa menyangka keputusan itu mengubah seluruh perjalanan hidupnya.

“Saya memang biasa panjat pokok kelapa sejak dulu. Hari itu saya naik sebab nak ambil kelapa muda. Saya teringin nak minum air kelapa muda.
“Dulu masa di kampung saya selalu membantu ayah yang bekerja sebagai tukang rumah,” katanya.
Dia berkata demikian ketika menerima kunjungan kru IMedikel TV di rumahnya di Kampung Pendek, Jalan Pasir Mas-Salor, di sini, baru-baru ini.
Akibat terjatuh, Ilyas disahkan lumpuh dari paras pinggang ke bawah, manakala tulang belakang dan punggungnya hancur dan diganti dengan besi.
“Kalau nak buang air pun saya tak rasa. Nak bangun tak boleh, nak berjalan pun tak boleh.
“Kadang-kadang saya hanya mampu mandi sekali dalam tempoh beberapa hari kerana kesukaran untuk bergerak.
“Saya tidak mahu menyusahkan orang, jadi saya usaha untuk bangun dan pergi ke bilik air untuk mandi menggunakan kerusi roda,”katanya.
Lebih memilukan, ujian keluarga itu tidak terhenti di situ.
Ibunya meninggal dunia akibat penyakit sawan kira-kira 11 tahun lalu, manakala bapanya, Mohamad Jusoh, 67, pula mengalami nasib hampir sama apabila terjatuh dari bumbung ketika bekerja sebagai tukang rumah dua tahun lalu.
Akibat kejadian itu pihak hospital melakukan pembedahan tempurung kepala Mohamad.
Sejak kejadian itu, Mohamad turut terlantar dan memerlukan penjagaan sepanjang masa.
Menurut anak bongsu keluarga itu, Siti Nazihah, 27, bapanya tidak boleh ditinggalkan bersendirian kerana sering mengalami masalah ingatan.

“Kalau tidak dipantau, ayah akan cuba turun dari katil. Sebab itu kami perlu bergilir-gilir menjaganya 24 jam sehari.
“Memang tak boleh tinggal. Saya tidur dekat kaki ayah. Kalau saya pergi ke dapur pun saya kena tengok selalu sebab pernah ayah buka pagar dan hampir turun sendiri,” katanya.
Tugas menjaga dua insan tersayang itu dipikul bersama adik-beradik lain, termasuk Muhammad Nasruddin, 29, yang sebelum ini bekerja di sebuah kedai makan.
Menurut Siti Nazihah abangnya itu berhenti bekerja demi membantu dirinya menguruskan ayah dan juga abang, Mohamad Solihin.
Menurut Siti Nazihah, kakak sulungnya, Siti Rohani, 38, yang juga ibu kepada tiga cahaya mata berusia 18, 11 dan dua tahun, bekerja di kedai makan juga ada membantu mereka.
Keluarga itu kini hanya bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 bagi setiap seorang untuk menampung keperluan harian.

“Bantuan memang banyak membantu, tetapi keperluan ayah dan abang memang berterusan setiap hari.
“Kini saya cuma nak tengok ayah dan abang sihat,” katanya.
Di sebalik segala ujian yang menimpa, Ilyas mengakui doa daripada bapanya menjadi sumber kekuatan untuk terus bertahan.
“Sekarang ini saya perlu doa dan reda ayah. Kalau boleh saya nak pergi dulu, reda ayah itu penting dalam keadaan saya begini,”katanya dengan penuh sedih.
Sementara itu, keluarga tersebut turut mendapat kunjungan dan perhatian Koordinator 3rd Force Pasir Mas, Wan Zalilah Shafie yang menyampaikan sumbangan.

Bagi mereka yang ingin menyalurkan sumbangan boleh terus ke nombor akaun Bank Simpanan Nasional: 0308041100017366 atas nama Siti Nazihah binti Mohamad.
IMedikel TV






