Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menyita 48 motosikal termasuk dua kenderaan mewah dipandu warga asing menerusi Ops Pemandu Warga Asing (Ops PeWA) secara besar-besaran pada bulan lalu.
JPJ negeri dalam kenyataan yang dimuatnaik di laman sosial memaklumkan bahawa operasi berkenaan dilaksanakan bagi membanteras pemandu warga asing tegar tanpa lesen yang sah.
Menurut kenyataan, tindakan hasil dari operasi itu membawa kepada sitaan 48 motosikal selepas pemiliknya dikesan melakukan pelbagai kesalahan berat seperti tiada lesen memandu,
Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.
“Lebih mengejutkan, dua buah kenderaan mewah dipandu warga asing turut disita selepas dikesan dipandu secara haram dan meluncur megah di atas jalan raya negeri.
“Sikap degil dan tidak endah segelintir warga asing ini nyata mengundang kemarahan memuncak dalam kalangan masyarakat tempatan.
“Mereka bukan sahaja tidak mempunyai dokumen sah, malah pemanduan berbahaya golongan ini dikesan sering mencetuskan risiko kemalangan maut,”menurut kenyataan.
Menurut JPJ negeri lagi, pihaknya menegaskan tiada lagi kompromi atau amaran lembut akan diberikan selepas ini.
“Tindakan sita, saman maksimum, dan heretan terus ke mahkamah menanti mana-mana pemandu warga asing dan individu yang memberi kenderaan atau menyewakan kepada mereka.
“Unit Operasi JPJ Pulau Pinang akan memperhebatkan sekatan jalan raya di pelbagai lokasi strategik yang menjadi laluan kekerapan warga asing,”menurut kenyataan itu.
IMedikel TV






