Home Buletin Semasa 12 WARGA ASING DIDAKWA DI MAHKAMAH KHAS PATI BELANTIK

12 WARGA ASING DIDAKWA DI MAHKAMAH KHAS PATI BELANTIK

54
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KEDAH: Seramai 12 warga asing berdepan tindakan undang-undang dalam prosiding pendakwaan yang berlangsung di Mahkamah Khas Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Belantik di sini, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kedah membanteras pelanggaran undang-undang imigresen.

Menerusi laman rasmi JIM, prosiding yang dipengerusikan Hakim Mahkamah Sesyen, Mazdi Abdul Hamid itu membabitkan 12 kes sebut semula membabitkan 12 orang kena tuduh (OKT) warga asing dari beberapa negara.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Imigresen, Farahafida Zakaria bersama Pegawai Imigresen, Lina Farhana Abdul Rahman.

Dalam prosiding tersebut, empat warga Bangladesh dituduh mengikut Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Mahkamah menjatuhkan denda RM600 atau tiga bulan penjara terhadap seorang tertuduh yang kemudiannya menjelaskan denda berkenaan, manakala seorang lagi gagal membayar denda yang dikenakan.

Dua lagi kes membabitkan warga Bangladesh ditangguhkan sehingga 12 Ogos depan sementara menunggu keputusan representasi.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, tiga warga asing terdiri daripada seorang warga Laos dan dua warga Myanmar dihadapkan ke mahkamah.

Dua daripada mereka dijatuhi hukuman penjara lapan bulan, dengan seorang turut dikenakan satu sebatan.

Sementara itu, satu lagi kes membabitkan kesalahan sama ditangguhkan sehingga 29 Julai depan bagi tujuan serahan dokumen.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman terhadap empat warga asing yang didakwa di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Seorang warga Bangladesh dihukum penjara empat bulan, manakala tiga warga India masing-masing dikenakan hukuman penjara enam bulan.

Dalam perkembangan sama, seorang warga Kenya yang berdepan dua pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 56(1)(l) akta sama dijatuhi hukuman penjara lima bulan bagi pertuduhan pertama serta enam bulan bagi pertuduhan kedua.

JIM Kedah berkata, kesemua hukuman yang dijatuhkan adalah selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa dan mencerminkan ketegasan kerajaan dalam menangani pelanggaran undang-undang Imigresen negara.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here