Home Buletin Semasa OPS TIRIS 4.0: KPDN KELANTAN RAMPAS 1.3 TAN MINYAK MASAK BERSUBSIDI, SUSPEK...

OPS TIRIS 4.0: KPDN KELANTAN RAMPAS 1.3 TAN MINYAK MASAK BERSUBSIDI, SUSPEK LOL0S KE SEMAK

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PASIR MAS: Sebanyak 1.36 tan minyak masak bersubsidi disyaki dirampas dalam Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) yang dilaksanakan di sekitar Pasir Mas malam tadi.

Operasi bersepadu itu adalah hasil gerakan risikan dan pemantauan yang dijalankan oleh Unit Risikan dan Tindakan Khas (URTK) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas serta KPDN Cawangan Pasir Mas.

Menurut KPDN Kelantan, pasukan penguat kuasa telah menjalankan pemantauan ke atas sebuah kenderaan jenis Perodua Alza berdaftar tempatan yang dipercayai membawa barang kawalan bersubsidi dari sebuah premis pemborong di daerah itu.

“Kenderaan tersebut kemudian diekori hampir 10 kilometer sebelum berjaya ditahan kira-kira jam 8.30 malam di Kampung Kubang Panjang, Lemal.

“Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 1,360 kilogram minyak masak bersubsidi yang dipercayai cuba diselewengkan. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM18,400 termasuk kenderaan yang digunakan dalam kegiatan tersebut,”menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, suspek dipercayai berjaya meloloskan diri dengan melarikan diri ke kawasan semak berhampiran ketika serbuan dijalankan.

“Kes kini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan,”jelas kenyataan itu.

KPDN Kelantan akan terus memperkukuh risikan serta operasi bersepadu bersama rakan agensi strategik khususnya di kawasan sempadan dan laluan panas bagi memastikan ketirisan barang kawalan bersubsidi dapat dibanteras demi melindungi hak rakyat dan kestabilan bekalan negara.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here