Home Hiburan X FACTOR KEMBALI SELEPAS 17 TAHUN

X FACTOR KEMBALI SELEPAS 17 TAHUN

44
0

PUTRAJAYA: Kumpulan lelaki popular era 1990-an, X Factor kembali mewarnai industri muzik tanah air selepas hampir 17 tahun tidak aktif dalam arena seni.

Memetik laporan Berita Harian, X Factor menegaskan mereka tidak pernah berdepan sebarang perselisihan, malah kumpulan yang ditubuhkan di bawah naungan KRU itu juga tidak pernah dibubarkan secara rasmi.

Dengan slogan X Is Back!, kumpulan yang dianggotai Fendi, 49, Zack, 49, Jim, 44, Danny, 46, dan Shah, 48, mempertaruhkan single baharu berjudul Walu Walu sebagai tanda kemunculan semula mereka.

“Sepanjang kehilangan kami daripada industri muzik, bukan sebab bergaduh. Sebaliknya, apabila masing-masing sudah berkeluarga dan mempunyai kerjaya sendiri, kumpulan ini perlahan-lahan menjadi senyap.

“Masing-masing membawa haluan sendiri dan sepanjang tempoh itu juga kami jarang berhubung atau bertanya khabar. 

“Namun, X Factor tidak pernah dibubarkan secara rasmi. Kami cuma membawa haluan masing-masing,” kata Fendi pada majlis pelancaran single Walu Walu di sini, semalam. 

Sementara itu, Danny berkata, KRU memberi lampu hijau kepada mereka untuk terus menggunakan nama X Factor.

“KRU masih membenarkan kami menggunakan nama X Factor. Kalau tidak, sudah tentu kami terpaksa menukar nama kumpulan ini.

“Kami juga ada menjemput anggota KRU ke majlis ini, namun kami faham mereka mempunyai komitmen sendiri dan tidak dapat hadir,” katanya.

Dalam pada itu, X Factor yang sekian lama menyepi daripada dunia hiburan mengakui sudah bersedia berdepan cabaran industri seni masa kini termasuk pengaruh media sosial yang semakin besar.

Bagaimanapun, mereka menegaskan kemunculan semula itu bukan untuk bersaing dengan generasi muda, sebaliknya mahu terus menyumbang dan memeriahkan industri muzik tempatan.

Malah, X Factor mengakui bersedia menerima sebarang kritikan terhadap lagu baharu mereka yang dicipta Jim.

“Kami menerima segala komen, sama ada positif atau negatif. Mungkin kerana sekarang kami semua sudah bergelar bapa, jiwa kami lebih matang.

“Kami santai sahaja dan tidak perlu membalas komen yang pedas. Bagi kami, komen negatif juga ada manfaat kerana ia membantu X Factor memperbaiki kelemahan yang ada,” kata Zack.

Single Walu Walu kini boleh didengari di semua platform penstriman digital. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here