KANSAS CITY: Lionel Messi menyifatkan pencapaiannya menyamai rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia sebagai satu ‘detik yang indah’ selepas mencipta sejarah pada penampilan keenamnya di kejohanan itu, hari ini.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, kapten Argentina berusia 38 tahun itu menambah satu lagi babak gemilang dalam kariernya apabila meledak hatrik ketika membantu juara bertahan itu menewaskan Algeria 3-0 di Stadium Arrowhead, Kansas City.
Hatrik pertama Messi di pentas Piala Dunia itu membolehkannya menyamai rekod legenda Jerman, Miroslav Klose sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman kejohanan dengan 16 gol.
“Untuk menikmati detik ini bersama keluarga, rakan sepasukan dan mereka yang sentiasa berada di sisi saya, ia adalah satu detik yang sangat indah.
“Saya sangat gembira,” kata bintang Inter Miami itu.
Ketajaman Messi di depan gol turut memberi petanda positif terhadap usaha Argentina untuk menjadi pasukan pertama sejak Brazil pada 1962 mempertahankan kejuaraan Piala Dunia.
Menurut Messi, kekuatan utama Argentina ketika ini adalah semangat berpasukan yang kukuh dalam kalangan pemain.
“Pasukan ini sangat bersatu dan mempunyai semangat yang kuat.
“Saya berasa amat baik. Kami berjaya memenangi perlawanan yang sukar dan amat penting untuk memulakan kejohanan dengan kemenangan pada perlawanan pertama,” katanya.
Messi turut merakamkan penghargaan kepada penyokong Argentina yang sekali lagi membanjiri stadium dan memberikan sokongan padu kepada pasukan.
“Saya berterima kasih kepada penyokong kerana sekali lagi mereka membuktikan bahawa Argentina benar-benar gilakan bola sepak.
“Kami sekali lagi memenuhi stadium dengan kehadiran penyokong,” katanya. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






