Home Luar Negara SKANDAL BOCOR KERTAS UJIAN, INDIA SEKAT TELEGRAM

SKANDAL BOCOR KERTAS UJIAN, INDIA SEKAT TELEGRAM

35
0

NEW DELHI: India menyekat akses kepada aplikasi Telegram, semalam, menjelang ujian semula peperiksaan kemasukan kolej perubatan di seluruh negara, susulan skandal kebocoran kertas soalan bulan lalu.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, tindakan itu diambil selepas kegagalan peperiksaan berkenaan dan satu lagi kekecohan berkaitan pemarkahan peperiksaan sekolah menengah mencetuskan kemarahan serta protes golongan muda yang menuntut peletakan jawatan menteri pendidikan.

Kementerian Elektronik mengarahkan akses kepada Telegram disekat sehingga Isnin ini, manakala ciri penyuntingan mesej akan terus dihadkan sehingga 30 Jun.

Agensi Pengujian Kebangsaan India (NTA) berkata, kedua-dua langkah itu diambil demi kepentingan ketenteraman awam susulan penggunaan platform berkenaan oleh sindiket penipuan untuk menipu calon peperiksaan.

Difahamkan, peperiksaan National Eligibility Entrance Test (NEET) yang menarik lebih dua juta bakal doktor dibatalkan pada Mei selepas timbul dakwaan kertas soalannya dibocorkan lebih awal termasuk melalui saluran Telegram. 

Susulan itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Telegram, Pavel Durov berkata, larangan selama seminggu itu tidak menghentikan kebocoran kertas ujian itu sebaliknya menghukum 150 juta pengguna biasa aplikasi itu di India kerana kebocoran berkenaan hanya berpindah ke aplikasi lain. 

Dalam pada itu, Internet Freedom Foundation pula menyifatkan, larangan berkenaan sebagai tindak balas yang tidak seimbang terhadap penipuan peperiksaan.

Sementara itu, Biro Siasatan Pusat India turut menahan individu yang didakwa sebagai dalang utama kebocoran iaitu seorang pensyarah kimia yang terbabit dalam proses peperiksaan bagi pihak NTA.

Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan pada Isnin melancarkan laman sesawang untuk membolehkan orang ramai melaporkan dakwaan mencurigakan, kandungan tanpa kebenaran atau aktiviti penipuan berkaitan peperiksaan NEET.

Menurut media tempatan juga, helikopter Tentera Udara India pada Selasa dilihat membuat persiapan menghantar kertas peperiksaan bagi mengelakkan sebarang kemungkinan kebocoran.

Media India turut melaporkan, beberapa kes bunuh diri membabitkan remaja susulan kekecohan berkaitan peperiksaan NEET.

Skandal itu berlaku ketika hampir dua juta pelajar sekolah menengah turut berdepan kontroversi sistem pemarkahan dalam talian yang didakwa memberikan gred tidak tepat atau mengeluarkan keputusan kepada calon yang salah.

Kemarahan terhadap salah urus peperiksaan itu kemudian disalurkan melalui gerakan satira ‘Cockroach People’s Party’ yang meraih jutaan pengikut di media sosial selepas dilancarkan pada Mei. – AFP, Hmetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here