Home Buletin Semasa JPNP PULIH KAWASAN CEROBOH, TANAM 2,000 POKOK DI HUTAN RAMSAR

JPNP PULIH KAWASAN CEROBOH, TANAM 2,000 POKOK DI HUTAN RAMSAR

26
0

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

BERA: Sebanyak 2,000 pelbagai spesies anak pokok hutan ditanam pada program ‘Teenagers Engagement in Environmental and Nature’ (TEEN) anjuran Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) di kawasan Kompartmen Satu, Tapak Pemuliharaan Tasik Bera, RAMSAR, dekat Kampung Lenguit, Bera.

Tapak penanaman terbabit merupakan sebahagian daripada kawasan pencerobohan seluas hampir 10.0 hektar yang cuba diteroka secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi tujuan pertanian.

Penolong Pengarah Silvikultur Zon Pahang Tengah, Wan Zaizielawany Wan Muhamad Zin, berkata, seramai 88 peserta terdiri daripada kakitangan Seksyen Silvikultur Zon Pahang Tengah, Pejabat Hutan Daerah (PHD) Temerloh/Bera, Unit Pengurusan Tasik Bera (RAMSAR), Pejabat Agama Daerah Jengka, Sultan Ahmad Shah Environmental Foundation (SASEF) dan komuniti Orang Asli Kampung Lenguit menyertai program terbabit.

Katanya, antara spesies pokok ditanam ialah Meranti Tembaga, Meranti Temak, Keruing Kertas, Merbau, Kasai, Keladan, Merawan Siput Jantan, Sepetir, Keruing Neram dan Meranti.

“Pada program kali ini kita turut menanam pokok durian yang diharap suatu hari nanti dapat menghasilkan buah yang menjadi sumber makanan pada masyarakat Orang Asli setempat.

“Dengan semangat dan kerjasama yang dipamerkan semua pihak, aktiviti menanam pokok selesai dilakukan kira-kira dalam masa dua jam,” katanya yang turut sama menyertai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu.

Beliau berkata, hampir setiap bulan pihaknya mengadakan program menanam pokok hutan di kawasan terpilih dibeberapa daerah negeri ini, usaha berkenaan perlu dilakukan bagi menghijaukan semula kawasan ceroboh termasuk hiasan.

Wan Zaizielawany berkata, sokongan yang diberikan pelbagai agensi dan masyarakat setempat termasuk pelajar dapat melancarkan lagi aktiviti menanam pokok hutan, hiasan dan pokok buah-buahan termasuk pokok nadir yang dianjurkan oleh JPNP.

“Kita juga sedia bekerjasama dengan pihak yang berminat mengadakan program menanam pokok, sebagai contoh sebelum ini kita mengadakan aktiviti menanam pokok dalam kawasan sekolah,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here