VANCOUVER: Bintang muda Nestory Irankunda membalas kritikan dengan cara terbaik apabila membantu Australia menewaskan Turkiye 2-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan D Piala Dunia 2026.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, kemenangan itu turut memaksa bekas pemain Amerika Syarikat (AS), Mike Grella menelan semula kata-katanya selepas sebelum ini memperlekehkan peluang Socceroos di kejohanan berkenaan.
Dalam rancangan CBS sebelum perlawanan, Grella menyifatkan Australia sebagai pasukan paling lemah dalam kumpulan dan secara sinis mempersendakan Irankunda yang baru berusia 20 tahun.
“Saya melihat pasukan mereka dan saya tidak mengenali seorang pun pemain dalam skuad itu.
“Saya tidak bergurau apabila bertanya, apa yang mereka minum di Australia sehingga berfikir mereka mempunyai peluang di Piala Dunia? Mereka adalah pasukan paling lemah dalam kumpulan,” katanya.
Bagaimanapun, Irankunda menjawab segala kritikan itu di atas padang apabila meledak gol pembukaan dan menjadi pemain Australia termuda menjaringkan gol di pentas Piala Dunia.
Pemain muda itu turut dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan selepas membantu Australia memulakan kempen dengan kemenangan bergaya.”Pada akhirnya, biarkan mereka bercakap.
“Sama seperti lawan kami hari ini (semalam), mereka banyak bercakap tetapi gagal membuktikannya di atas padang dan kami yang menang.
“Orang ramai boleh bercakap apa sahaja, tetapi jika tidak mampu membuktikannya di atas padang, tiada gunanya,” katanya.
Kenyataan Grella turut mengundang kritikan daripada bekas pemain AS, Benny Feilhaber dan Jimmy Conrad yang kini bertugas sebagai pengulas Piala Dunia.
Kemenangan ke atas Turkiye memberikan permulaan sempurna buat Australia dalam misi memburu tempat ke pusingan kalah mati, selain membuktikan mereka bukan pasukan yang boleh dipandang rendah di pentas dunia. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






