Home Luar Negara GEMPA FILIPINA: DASAR LAUT TERANGKAT DUA METER

GEMPA FILIPINA: DASAR LAUT TERANGKAT DUA METER

MANILA: Gempa bumi kuat yang mengorbankan sekurang-kurangnya 61 orang di Filipina pada minggu ini menyebabkan dasar laut naik setinggi dua meter (m), sekali gus mendedahkan terumbu karang dan menjejaskan hidupan marin.

Menurut maklumat terkini daripada agensi pengurusan bencana, gempa bumi magnitud 7.8 yang melanda pulau selatan Mindanao pada 8 Jun itu turut menyebabkan sekurang-kurangnya 40 orang masih hilang.

Memetik laporan AFP menerusi harian Metro, jabatan alam sekitar memaklumkan bahawa penduduk tempatan mula melaporkan fenomena geologi yang dikenali sebagai “peningkatan pesisir pantai” dua hari selepas kejadian gempa bumi yang memanjangkan garis pantai sehingga 200 m di beberapa kawasan.

“Pergeseran di Jurang Cotabato menolak sebahagian pesisir pantai di wilayah Sarangani dan Davao Occidental ke atas sekali gus mendedahkan dasar laut yang sebelum ini tenggelam,” menurut Institut Volkanologi dan Seismologi Filipina dalam satu kenyataan.

Jurang Cotabato yang terletak kira-kira 50 kilometer (km) dari pesisir selatan Mindanao adalah kawasan yang kerap mengalami aktiviti seismik termasuk ribuan gempa bumi berskala kecil yang direkodkan pada Januari lalu. 

Jabatan Alam Sekitar memaklumkan bahawa sepasukan penyelidik yang dihantar ke kawasan kejadian mendapati sebahagian besar kawasan pesisir pantai, terumbu karang dan rumpai laut terdedah.

Seorang pegawai berkata pada 14 Jun bahawa pihaknya masih belum dapat menentukan dengan tepat keluasan kawasan yang terjejas memandangkan zon kajian yang perlu ditinjau adalah sangat luas.

Imej yang dikeluarkan oleh jabatan berkenaan menunjukkan kawasan terumbu karang yang luas terdedah bersama bangkai ikan serta hidupan akuatik lain.

Penduduk pada mulanya melaporkan perubahan pada dasar laut itu kerana bimbang akan terhidu bahan beracun daripada bau busuk bangkai hidupan laut yang mereput.

“Terumbu karang dan kawasan rumpai laut yang terdedah ini mula mati bersama hidupan yang berlindung di situ seperti ikan karang, belut, kima dan kerang,” kata Jabatan Alam Sekitar. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here