Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kebakaran besar yang memusnahkan hampir 27 rumah di Kampung Gok Kapur bukan sahaja mengakibatkan kerugian harta benda, malah meninggalkan kesan emosi mendalam kepada penduduk serta individu yang mempunyai kenangan di kampung berkenaan.
Hasrul Hanif Razali, 40, meluahkan rasa sedih apabila melihat kesan kebakaran tempat dia membesar suatu ketika dahulu, musnah dijilat api tengah hari semalam.
Bagaimanapun menurut Hasrul Hanif rumah pusaka milik keluarganya antara beberapa kediaman yang terselamat daripada kebakaran yang memusnahkan puluhan rumah di kampung itu.
Menurutnya, rumah tersebut sebelum ini didiami abang sulungnya sebelum berpindah ke Bunut Payong pada awal tahun ini berikutan keadaan rumah yang semakin uzur.

“Rumah itu rumah pusaka keluarga sebelah ibu saya. Nenek berasal dari Gok Kapur, manakala ayah berasal dari Tumpat. Selepas keluarga berpindah ke Tumpat kira-kira 19 tahun lalu, abang sulung yang tinggal di rumah itu.
“Bagaimanapun, dia baru sahaja berpindah tahun ini dan kini menyewa di Bunut Payong. Kami juga jarang pulang ke rumah itu, sekadar melihat keadaannya dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi kru IMedikel TV.
Menceritakan kembali kejadian, Hasrul Hanif berkata, dia hanya mengetahui mengenai kejadian itu selepas dimaklumkan oleh penduduk kampung sebelum menerima rakaman video yang dihantar oleh saudara-maranya.
“Saya terkejut apabila melihat video yang dihantar ibu saudara. Kebetulan saya sedang bercuti semalam, jadi saya terus ke kampung untuk melihat sendiri keadaan di sana.
“Perasaan saya amat sedih apabila melihat kampung tempat saya membesar hangus dijilat api,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan pemerhatiannya di lokasi kejadian, kira-kira 18 rumah terselamat daripada kebakaran tersebut, dengan lima rumah berada di bahagian hujung belakang kampung dan 13 lagi di bahagian hadapan.
“Rumah pusaka keluarga saya terletak di bahagian hujung dalam kampung dan termasuk dalam kelompok rumah yang terselamat,” katanya.
Dalam kejadian itu, kebakaran besar dilaporkan memusnahkan sebahagian besar penempatan di Kampung Gok Kapur, meninggalkan kesan mendalam kepada penduduk dan waris yang mempunyai kenangan di kawasan berkenaan.
IMedikel TV






