Home Buletin Semasa KORBAN REHDACARE DI KEMBOJA BANTU PENDUDUK MISKIN, PELAJAR TAHFIZ

KORBAN REHDACARE DI KEMBOJA BANTU PENDUDUK MISKIN, PELAJAR TAHFIZ

127
0

Oleh: Afrizam Arif @IMedikel TV

KOTA BHARU: Program ibadah korban anjuran RehdaCare Kelantan di Kemboja sejak 2017 bukan sahaja membantu golongan miskin menikmati daging setahun sekali, malah turut menyokong operasi sebuah maahad tahfiz yang menempatkan kira-kira 200 pelajar di negara itu.

Pengerusi RehdaCare Kelantan Datuk Samsuri Awang Mat berkata, program itu bermula selepas beliau bertemu seorang ustaz dikenali sebagai Ustaz Imran yang ketika itu sedang membina Maahad Tahfiz Darul Ulum di Kampung Thor, Daerah Cham, Kemboja.

Menurutnya, hasil keprihatinan terhadap nasib masyarakat Islam di kawasan berkenaan, beliau mengambil inisiatif mengumpul sumbangan daripada rakan, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi membantu pembinaan maahad tersebut melalui program korban.

“Ketika mula pergi ke sana, maahad itu masih dalam pembinaan dan hari ini bangunan dua tingkat itu sudah siap serta sudah digunakan kira-kira 200 pelajar untuk belajar agama secara percuma.

“Kos pembinaannya mencecah ratusan ribu dolar hasil sumbangan orang ramai termasuk dari Malaysia, Brunei dan Singapura,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Samsuri berkata, setiap tahun RehdaCare akan melaksanakan korban antara 20 hingga 30 ekor lembu di Kemboja dan bagi tahun ini sebanyak 20 ekor lembu disediakan membabitkan nilai lebih RM53,200.

Samsuri yang juga Timbalan Pengerusi Rehda Kelantan berkata, kutipan bagi program korban tahun ini dibuka sejak dua bulan lalu dengan satu bahagian ditawarkan pada harga RM380 manakala seekor lembu bernilai RM2,660.

“Penyumbang program itu bukan sahaja dari Malaysia malah turut melibatkan umat Islam dari Austria (Eropah) yang menyalurkan sumbangan menerusi RehdaCare.

“Kebanyakan penduduk Islam miskin di kawasan kampung sekitar Kampung Cham menunggu setiap tahun kedatangan rombongan korban dari Malaysia kerana sukar menikmati daging dalam kehidupan harian mereka,” katanya.

Menurut beliau, biasanya dua ekor lembu diagihkan kepada satu kampung dan wakil penduduk sendiri datang mengambil daging untuk diagihkan kepada penghuni kampung masing-masing, selain sebahagian daging turut disimpan dalam peti sejuk beku untuk kegunaan pelajar tahfiz yang belajar secara percuma di sana.

Katanya, beliau sendiri akan berangkat ke Kemboja pada hari pertama Aidiladha tahun ini dan turut menjadi juru sembelih dalam program korban berkenaan.

Samsuri berkata, guru di maahad berkenaan kebanyakannya bekerja sebagai petani dan hanya menerima elaun kecil bagi kos minyak motosikal untuk datang mengajar.

“Saya pergi sendiri dan melihat keadaan hidup mereka yang sangat susah serta daif. Kita rasa puas apabila korban itu benar-benar sampai kepada golongan memerlukan.

“Di Malaysia ramai pihak bantu laksanakan korban, tetapi di sana mereka sangat bergantung kepada bantuan luar. Sebab itu kita terpanggil membantu saudara Islam di Kemboja walaupun jauh,” katanya.

Katanya, selain menunaikan ibadah korban, program itu turut memberi peluang kepada peserta berkongsi rezeki serta membantu pengurusan sekolah tahfiz berkenaan demi kelangsungan pendidikan agama masyarakat Islam di negara itu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here