Oleh: Afrizam Arif @IMedikel TV
KOTA BHARU: “Mereka memang rapat sejak kecil, hari jadi pun sambut sekali,” kata bapa saudara kepada dua beradik yang maut lemas di Sungai Beril berhampiran Taman Beril, Paka, Terengganu, kelmarin.
Mohd Zul-Hazim Mohd Baldin, 30, berkata abang mangsa Muhammad Amir Ashraf, 15, dan adiknya Muhammad Aidil Amsyar, 14, membesar bersama seperti pasangan kembar kerana jarak usia mereka hanya setahun.
Menurutnya, kedua-dua mangsa merupakan anak kepada Mohd Zul-Zunaidi Mohd Baldin, 40, yang bekerja di sektor minyak dan gas di Kerteh, manakala ibu mereka Nur Fitriah Hassan, 35, ialah suri rumah.
“Mereka juga cucu sulung keluarga kami dan sangat rapat dengan nenek sejak kecil kerana dijaganya ketika dalam pantang dahulu,” katanya ketika ditemui malam tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Buloh Poh Melor, di sini.
Beliau berkata nenek mangsa, Nor Hashimah Hashim, 64, turut terkesan dengan tragedi itu malah dikatakan bermimpi membasuh kain putih beberapa hari sebelum kejadian.
“Kami memang tak sangka perkara macam ini akan berlaku, tambahan pula keluarga sudah merancang mengadakan hari keluarga sebagai acara wajib sempena Aidiladha hujung bulan ini,” katanya.
Mohd Zul-Hazim berkata, kejadian itu amat mengejutkan keluarga kerana kedua-dua remaja terbabit tidak pernah ke sungai berkenaan sebelum ini dan dipercayai keluar tanpa pengetahuan ibu bapa.
Terdahulu, Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun DSP Jumaidy Bah Chong Weh berkata mayat Muhammad Aidil Amsyar ditemukan terapung berhampiran jeti Pasar Paka pada 9.55 pagi semalam, manakala mayat abangnya ditemukan pasukan penyelamat petang kelmarin selepas kedua-dua mereka dipercayai dibawa arus ketika mandi bersama dua lagi rakan.
Jenazah Muhammad Aidil Amsyar dikebumikan pada 8.20 malam tadi, manakala abangnya Muhammad Amir Ashraf disemadikan pada 11 pagi semalam.
IMedikel TV






