Home Buletin Semasa JPJ TANGGUH SEMENTARA URUSAN TUKAR HAK MILIK KENDERAAN SECARA DALAM TALIAN 

JPJ TANGGUH SEMENTARA URUSAN TUKAR HAK MILIK KENDERAAN SECARA DALAM TALIAN 

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menangguhkan sementara semua urus niaga tukar hak milik (THM) kenderaan secara dalam talian berkuat kuasa hari ini susulan aduan berkaitan pertukaran hak milik tanpa pengetahuan pemilik berdaftar.

Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, penangguhan itu membabitkan semua saluran urus niaga dalam talian termasuk portal awam, kiosk serta rakan niaga JPJ iaitu MyEG dan eauto.my⁠ bermula hari ini.

“Langkah itu diambil sebagai tindakan kawalan serta-merta selepas JPJ menerima beberapa aduan rasmi selain laporan menerusi media sosial mengenai insiden pertukaran hak milik kenderaan tanpa kebenaran pemilik asal.

“JPJ memandang serius perkara ini khususnya yang melibatkan aspek penyelenggaraan dan keselamatan rekod pendaftaran kenderaan di dalam sistem JPJ,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Jelasnya susulan itu, semua urusan tukar hak milik bagi kategori persendirian individu dan persendirian syarikat perlu dilakukan secara fizikal di kaunter pejabat JPJ di seluruh negara.

Bagaimanapun, JPJ memaklumkan urusan tukar hak milik bagi kategori persendirian individu masih boleh diselesaikan pada hari sama di semua pejabat dan cawangan JPJ.

“Bagi kategori persendirian syarikat pula, proses pengesahan dan kelulusan akan mengambil masa antara lima hingga tujuh hari bekerja bermula daripada tarikh dokumen lengkap diserahkan.

“Bagi saluran melalui penyedia perkhidmatan eAuto, hanya urus niaga Sistem Tukar Hak Milik Sementara (STMS) sahaja masih beroperasi seperti biasa manakala sistem tukar hakmilik kekal melalui sistem eSerahan Tukar Milik (eSTM) ditangguhkan pelaksanaannya. Mana-mana pihak termasuk syarikat kenderaan terpakai yang hendak melaksanakan eSTM hendaklah mengemukakan permohonan ini di Pejabat JPJ Negeri atau cawangan,”katanya.

Aedy Fadly berkata, JPJ komited memperkukuh kawalan dan pengurusan rekod pendaftaran kenderaan dari semasa ke semasa bagi melindungi kepentingan pemilik kenderaan serta memastikan integriti sistem penyampaian perkhidmatan jabatan terus terpelihara.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menyemak dan mengemaskini maklumat serta data kenderaan masing-masing dengan JPJ. 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here