Home Buletin Semasa GADIS BAWA TRAKTOR LEBIH 3.5 TAN DEMI SUMBER REZEKI

GADIS BAWA TRAKTOR LEBIH 3.5 TAN DEMI SUMBER REZEKI

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

BACHOK: Di saat kebanyakan gadis seusianya memilih pekerjaan di pejabat atau bidang kecantikan, seorang anak muda dari Kampung Kuau Besar, Beoh, di sini pula lincah mengendalikan traktor seberat lebih 3.5 tan demi meneruskan sumber rezeki keluarga.

Tanpa rasa kekok, Nur Syahirah Muhd Din, 21, menggalas tugas yang sinonim dengan golongan lelaki selepas mengambil alih pekerjaan bapanya yang sering kurang sihat.

Pergerakan tangannya menukar gear dan mengawal jentera berat itu jelas memperlihatkan kemahiran yang sudah sebati dalam dirinya walaupun masih muda.

Menurut Nur Syahirah, minat terhadap traktor mula bercambah sejak kecil apabila dia sering mengikut bapanya bekerja dan melihat sendiri bagaimana jentera itu dikendalikan.

“Sejak usia 11 tahun lagi saya sudah ikut ayah naik ‘kereta galo’ sehingga lama-kelamaan timbul rasa minat untuk membawanya.

“Selepas tamat sekolah, saya mula membawa traktor secara sepenuh masa dan mengambil upah mengikut kerja yang ditawarkan.

“Saya belajar mengendalikan gear dengan melihat cara ayah membawa traktor sehingga lama-kelamaan jadi mahir tanpa rasa kekok,” katanya ketika ditemui ketika membersihkan kawasan tanah gambut, di sini baru-baru ini.

Walaupun pernah menyimpan impian untuk bekerja dalam bidang bakeri, anak keenam daripada tujuh beradik itu mengakui hatinya lebih kuat untuk membantu bapanya kerana tidak mahu pekerjaan tersebut terhenti begitu sahaja.

Katanya, walaupun kerjayanya berbeza daripada kebanyakan gadis seusia, dia tidak pernah malu malah berbangga kerana pekerjaan itu memberi pulangan lumayan selain kepuasan buat dirinya.

Traktor berwarna biru yang dikendalikannya hampir setiap hari digunakan untuk kerja menyodok tanah, membersihkan kawasan dan meratakan jalan di sekitar Kelantan serta Terengganu termasuk Besut dan Jerteh.

“Nak buat kerja bawa traktor ini kena berani sebab ada juga cabarannya, kalau yakin pada diri sendiri, pasti boleh buat.

“Ketika bekerja juga kena sentiasa berhati-hati kerana kadang-kadang traktor boleh tersangkut dan saya pernah disengat tebuan ketika membersihkan kawasan hutan,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here