KUALA LUMPUR: Atas dasar simpati terhadap seorang ibu bergelut menahan derita melihat anak bertarung dengan kanser agresif, Datuk Aznil Nawawi sanggup mengetepikan rasa malu dan menggunakan pengaruh dimiliki demi merayu bantuan orang ramai buat keluarga Amyza Aznan.
Memetik laporan Berita harian, hanya dalam tempoh lebih 50 jam, usaha digerakkan pengacara terkenal itu berjaya menghimpunkan hampir RM140,000, sekali gus menjadi bukti masih wujud kasih dan keprihatinan rakyat Malaysia terhadap insan yang sedang diuji.
Menurut Aznil atau lebih mesra disapa Pak Nil, usaha membuka tabung bantuan itu dilakukan secara ikhlas tanpa sebarang kepentingan peribadi, sebaliknya hanya mahu meringankan beban kewangan ditanggung Amyza sekeluarga.
“Saya buat semua ini secara ikhlas. Saya tak ada kepentingan apa-apa dan tak mahu sorok-sorok.
“Saya sendiri yang akan minta bantuan bagi pihak Amyza. Bukan dia meminta-minta,” katanya kepada BH Online.
Aznil berkata, Amyza pada mulanya agak keberatan untuk membuka tabung bantuan kerana bimbang akan timbul pelbagai persepsi negatif.
Katanya, pelakon itu lebih rela berusaha sendiri mencari wang demi menampung kos rawatan anaknya tanpa perlu meminta simpati mana-mana pihak.
“Dia sebenarnya tak mahu buat perkara macam ini sebab takut ada yang berprasangka. Dia sanggup cari duit sendiri dan tak mahu orang bercakap macam-macam.
“Tapi saya jelaskan bahawa ini kehendak saya sendiri. Saya yang mahu bantu dan dan tak kisah ‘tebalkan muka’ untuk meminta sumbangan bagi pihak dia.
“Selepas saya terangkan, dia akhirnya berlapang dada. Cuma dia berharap perkara ini tidak membebankan saya atau berlaku perkara berbangkit di kemudian hari,” jelas Aznil.
Menurut Aznil, pada awalnya dia merancang membuka tabung bantuan itu selama seminggu, namun tidak menyangka sambutan diterima begitu luar biasa.
“Dalam lebih dua hari sahaja kutipan sudah hampir RM140,000.
“Bila saya umumkan jumlah kutipan dalam podcast baru-baru ini, Amyza terkedu dan tak tahu nak cakap apa selain berterima kasih,” katanya.
Mengulas lanjut, penyampai Kool FM itu mengakui dia sendiri masih belum mengetahui jumlah sebenar kos rawatan diperlukan memandangkan keadaan kanser dihidapi anak Amyza, Adrian Adam, agak agresif dan memerlukan rawatan segera.
Katanya, rawatan sama ada di dalam atau luar negara pastinya memerlukan perbelanjaan besar yang bukan mudah ditanggung sendiri.

“Kalau bercakap soal kos rawatan, kita tahu ia bukan sedikit jumlahnya.
“Berlakon drama pun belum tentu mampu tampung semuanya. Kalau ada simpanan sekali pun boleh habis sebab rawatan seperti kemoterapi perlu dibuat berulang kali,” katanya.
Dalam masa sama, Aznil menjelaskan segala urusan kutipan wang dilakukan secara telus dengan kerjasama pihak bank bagi memastikan tiada sebarang keraguan timbul.
Katanya, pengalaman mengendalikan bantuan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini banyak mengajarnya mengenai pentingnya amanah dalam menguruskan wang orang ramai.
“Saya belajar daripada pengalaman lalu. Sebelum ini masa PKP saya pernah bantu keluarga memerlukan dan orang percaya kepada saya.
“Sebab itu saya bekerjasama dengan bank supaya semuanya dipantau dan direkodkan dengan jelas,” katanya.
Dalam pada itu, Aznil turut berpandangan ada segelintir pesakit memilih rawatan alternatif bukan semata-mata takut kepada rawatan hospital, tetapi disebabkan kekangan kewangan.
“Kita kadang-kadang tertanya kenapa orang pergi buat rawatan alternatif.
“Bukan semuanya sebab takut kimoterapi, tetapi ada juga kerana sumber kewangan yang tak mencukupi,” katanya.
Menurut Aznil, situasi itu membuatkan dirinya lebih memahami tekanan sebenar yang ditanggung keluarga pesakit, terutama apabila kos rawatan semakin tinggi dan perlu dilakukan berulang kali.
Situasi yang berlaku itu turut menyedarkan Aznil mengenai tujuan sebenar memiliki jutaan pengikut di media sosial jika tidak dimanfaatkan untuk membantu insan memerlukan.
“Keadaan itu membuatkan saya terfikir buat apa ada dua juta pengikut, tapi tak buat apa-apa? Jadi, fikirlah sendiri,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






