Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kerajaan memperuntukkan lebih RM3 juta kepada 761 anak eKasih Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di negeri Kelantan.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, menerusi inisiatif Sejahtera MADANI, penerima menerima sebuah komputer riba serta Bantuan Awal Kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) berjumlah RM1,000 bagi setiap pelajar.
“Program ini dijalankan secara bersasar di bawah inisiatif Sejahtera MADANI yang dikelola Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).
“Ia diberikan kepada pelajar cemerlang SPM 2025 bagi meringankan beban kewangan bagi keluarga yang kurang berkemampuan, khususnya yang berdaftar di bawah sistem e-Kasih.
“Dengan sumbangan ini diharap dapat mengurangkan beban mereka untuk persediaan ke peringkat seterusnya,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Sumbangan Komputer Riba dan Bantuan Awal ke IPT di Politeknik Kota Bharu, Kok Lanas, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah ICU JPM Kelantan, Dr Wan Nur Ibtisam Wan Ismail.
Beliau berkata penerima manfaat tersebut terdiri daripada mereka yang memperoleh keputusan 5A dan ke atas dalam peperiksaan SPM 2025 yang diumumkan pada 31 Mac lalu.
Sementara itu, seorang penerima Nur Intan Farhana Mansur, 18, yang bakal melanjutkan pengajian ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang Asasi Sains berkata, dia bersyukur kerana bantuan tersebut dapat digunakan sebagai persediaan awal ke universiti nanti.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberi sumbangan ini kepada saya,”katanya.
Anak sulung daripada enam beradik itu berkata dia bersyukur kerana terpilih daripada 761 penerima manfaat tersebut.
Manakala anak kepada peniaga apam balik, Fatimah Razali, 18, yang memperoleh keputusan 9A dalam SPM 2025 berkata, sumbangan diterimanya itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin bagi membantu melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Alhamdulillah saya bersyukur kerana mendapat sumbangan ini dan terima kasih kepada PMX.
“Dengan wang sebanyak RM1,000 itu saya akan gunakan untuk membeli barangan keperluan ke universiti,”katanya.
Fatimah akan melanjutkan pengajian ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam bidang Tamhidi Perakaunan dan Muamalat.
IMedikel TV






