Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Seramai 169,803 calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 berjaya mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) menerusi sistem UPUOnline bagi sesi kemasukan tahun ini.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan semalam memaklumkan daripada 235,480 permohonan layak yang diterima, sebanyak 72.11 peratus calon berjaya memperoleh tempat di institusi termasuk Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti (KK) dan MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT).
“Daripada jumlah keseluruhan tawaran itu, seramai 91,357 calon ditawarkan tempat di UA, diikuti 60,947 di Politeknik, 15,844 di Kolej Komuniti dan 1,655 di MARA BPT.
“KPT turut menyediakan laluan khas kepada beberapa kategori calon melibatkan 701 Orang Kurang Upaya (OKU), 310 Orang Asli, 179 atlet dan 10,499 calon kategori B40.
“Selain itu, seramai 65 calon lepasan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat turut berjaya menerima tawaran melanjutkan pengajian,”menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, KPT memaklumkan buat pertama kali semua program pengajian dibuka kepada calon OKU berdasarkan kelayakan dan kesesuaian masing-masing sebagai usaha memperluas akses pendidikan tinggi yang lebih inklusif dan adil.
Kementerian itu juga mengambil inisiatif menawarkan tempat kepada calon yang memperoleh keputusan cemerlang 8A dan ke atas bagi memastikan pelajar cemerlang mendapat peluang sewajarnya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Secara keseluruhan, sebanyak 363 program pengajian ditawarkan pada sesi kali ini melibatkan 41 program sijil, 57 asasi, 264 diploma dan satu program ijazah sarjana muda.
“Kemasukan pelajar ke institusi terlibat dilaksanakan berdasarkan prinsip meritokrasi dengan semua calon yang layak disusun mengikut markah merit tertinggi hingga terendah,”jelas kenyataan itu.
Bagi calon yang tidak berjaya mendapat tawaran, kementerian membuka peluang kedua menerusi proses rayuan UPUOnline selama 10 hari bermula semalam jam 12 tengah hari hingga 31Mei ini jam 5 petang.
KPT turut mengucapkan tahniah kepada semua calon yang berjaya serta berharap peluang melanjutkan pengajian itu dimanfaatkan sebaik mungkin demi masa depan pendidikan dan kerjaya mereka.
IMedikel TV






