London: Nama Harry Maguire sekali lagi menjadi perbualan hangat apabila bekas kapten England, Wayne Rooney menyifatkan pertahanan Manchester United itu sebagai ‘tidak bernasib baik’ selepas tidak dipilih dalam skuad Piala Dunia kendalian Thomas Tuchel.
Harry Maguire yang sudah mengumpul 66 penampilan antarabangsa sebelum ini pernah menjadi tonggak penting England ketika mara ke separuh akhir Piala Dunia 2018 dan suku akhir Piala Dunia 2022.
Namun, harapan pemain berusia 33 tahun itu untuk beraksi di pentas Piala Dunia di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada musim panas ini tidak kesampaian selepas Tuchel membuat keputusan tidak menyenaraikannya dalam skuad akhir.
Rooney yang membincangkan isu itu dalam Podcast Wayne Rooney mengakui keputusan tersebut mengejutkannya, terutama berdasarkan prestasi semasa Maguire.
“Saya rasa Maguire adalah antara keputusan paling mengejutkan bagi saya.
“Jika melihat kepada prestasi, Harry Maguire sangat tidak bernasib baik untuk tidak berada dalam skuad itu.
“Boleh jadi Tuchel tidak mahu membawa dia semata mata untuk tidak menurunkannya. Saya tidak pasti, tetapi saya rasa mereka sudah berbincang mengenai perkara ini,” kata Rooney.
Rooney turut menjelaskan bahawa persaingan di bahagian pertahanan mungkin menjadi faktor utama, dengan Dan Burn dipilih berbanding Maguire.
“Keputusan besar di bahagian pertahanan mungkin antara Maguire atau Dan Burn dan Tuchel memilih Dan Burn,” katanya.
Walaupun begitu, Rooney menegaskan beliau masih menghormati keputusan pengendali England itu.
“Walaupun ada keputusan yang saya tidak setuju, saya tetap percaya kepada Tuchel sebagai pengurus berdasarkan apa yang kita lihat setakat ini,” tambahnya.
Selain isu pertahanan, Rooney turut menyentuh peranan pemain di posisi nombor 10, termasuk pilihan Morgan Rogers berbanding Jude Bellingham dalam beberapa situasi. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






