Home Buletin Semasa KOS BINA RUMAH MENINGKAT 15 PERATUS

KOS BINA RUMAH MENINGKAT 15 PERATUS

114
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Industri pembinaan dan perumahan negara kini berdepan tekanan kos berikutan kos pembinaan rumah meningkat hingga 15 peratus berikutan kenaikan harga diesel mencecah RM4.97 seliter ketika ini.

Presiden Persatuan Kontraktor Perumahan Malaysia (PKPM), Dr Muhsin Abd Ghani, berkata kenaikan harga bahan mentah hingga 30 peratus juga memberi kesan langsung kepada harga rumah serta permintaan pasaran.

“Secara umumnya, kenaikan harga barang sekitar 20 hingga 30 peratus ketika ini memberi kesan langsung kepada kos pembinaan yang dijangka meningkat antara 10 hingga 15 peratus.

“Situasi tersebut menyebabkan ada sesetengah klien mula panik dengan situasi semasa dan sebahagian klien mula menangguhkan projek, manakala sebahagian lagi memilih untuk meneruskan pembinaan dengan pandangan lebih optimistik.

“Apabila berlaku kenaikan harga, biasanya ia tidak akan turun semula. Jadi terpulang kepada klien” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Ekspo Bina Rumah 2026, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan kos pembinaan di Kelantan masih lebih rendah berbanding Kuala Lumpur.

“Di seluruh Malaysia, khususnya di Kelantan, dulu kos pembinaan sekitar RM150 hingga RM160 sekaki persegi, namun kini sudah meningkat kepada RM170 hingga RM180.

“Namun di Kuala Lumpur, ia mencecah sekitar RM250 hingga RM300 sekaki persegi,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menerima pelbagai rungutan daripada kontraktor berhubung situasi semasa, khususnya kesan kenaikan harga yang menjejaskan sektor pembinaan.

“Kita memang berdepan masalah kenaikan harga. Kebanyakan kontraktor ketika ini mengalami kejatuhan jualan yang agak ketara,” katanya.

Menurutnya, jualan dalam kalangan kontraktor dilaporkan merosot antara 30 hingga 50 peratus, namun setakat ini belum ada kes yang dilaporkan sehingga menutup operasi sepenuhnya.

“Ada yang sampai terpaksa tutup itu belum lagi kita dengar. Setakat ini kebanyakannya masih dalam keadaan bertahan,” jelasnya.

Beliau berkata, situasi itu akan berubah sekiranya terdapat intervensi dasar daripada kerajaan, termasuk cadangan memberi pengecualian cukai pendapatan kepada pihak yang membina rumah.

“Langkah ini boleh dijadikan galakan secara menyeluruh atau global kepada industri bagi merancakkan kembali sektor perumahan,” jelasnya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here